Oleh Firdaus Mul
23 Mei 2024, 22:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan bagi tahun 2024 membuka tirainya di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang, hari ini.

Majlis ini akan berlangsung selama enam hari, bermula pada 23 Mei 2024 hingga 28 Mei 2024.

Menurut Pengarah Bahagian Keurusetiaan dan Hubungan Luar, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Puan Intan Syahrina Zainal Abidin, Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat kebangsaan merupakan majlis rasmi kerajaan yang akan diadakan pada setiap tahun dengan kerjasama kerajaan negeri.

“Secara keseluruhannya, terdapat 110 orang peserta yang bakal mengambil bahagian dalam majlis tersebut.

“Untuk kategori al-Quran, terdapat 29 orang peserta dan yang datang dari setiap negeri,” katanya ketika temu bual program Selamat Pagi Malaysia, anjuran RTM, baru-baru ini.

Tambah beliau, bagi kategori hafazan, berlakunya peningkatan penyertaan pada tahun ini.

“Jika sebelum ini penyertaan hanya sebanyak 79 orang peserta, pada tahun ini telah meningkat kepada 81 orang peserta,” jelasnya.

“Pada tahun ini juga terdapat penyertaan peserta termuda yang berusia 14 tahun,” ujarnya lagi.

Sementara itu, proses penjurian atau pengadilan bagi majlis tilawah dan hafzan akan dilakukan oleh barisan jemaah hakim yang dilantik.

“Sebanyak 12 orang hakim disediakan bagi kategori tilawah al-Quran, dan 14 orang hakim bagi majlis hafazan al-Quran.

“Barisan jemaah hakim akan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Jakim, YBhg. Datin Paduka Hajah Hakimah Mohd. Yusoff,” jelas beliau lagi.

Sebagai info, peserta yang dipilih sebagai pemenang bakal mewakili negara ke pertandingan tilawah dan hafazan al-Quran peringkat antarabangsa yang bakal berlangsung pada 5 Oktober hingga 12 Oktober 2024 di Kuala Lumpur.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.