22 Mei 2024, 16:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sepang – Lembaga Tabung Haji (TH) mengukuhkan lagi kepercayaan dan hubungan dua hala dengan Kerajaan Arab Saudi melalui Program Pra-Perlepasan Jemaah Haji atau Makkah Route untuk tahun keenam pelaksanaannya.

Menurut TH, Malaysia merupakan negara pertama di dunia yang diberikan kepercayaan oleh Kerajaan Arab Saudi melaksanakan Makkah Route melalui program perintisnya pada tahun 2017.

“Program ini kemudiannya diteruskan dengan program penuh pada tahun 2018, 2019, 2022 dan 2023 serta pada tahun ini, Makkah Route telah diperluaskan keenam negara lain,” kata TH dalam satu kenyataan semalam.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im berkata, pelaksanaan Makkah Route telah banyak membantu mempermudahkan urusan jemaah haji negara kerana setelah melalui penerbangan selama lapan jam, mereka tidak lagi perlu menunggu lama setibanya di tanah suci kerana proses pemeriksaan Jabatan Imigresen dan Kastam Arab Saudi telah diselesaikan di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Tambah beliau, kerajaan Malaysia amat berbesar hati dan menghargai kepercayaan yang diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi kerana sekali lagi dipilih bagi musim haji tahun ini untuk menyertai program Makkah Route di samping enam buah negara lain, iaitu Indonesia, Maghribi, Pakistan, Bangladesh, Ivory Coast dan Turkiye.

Kata YB Senator Dr. Na’im, “Pemilihan Malaysia sekali lagi pada tahun ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan.”

“Hal yang demikian membuktikan pengiktirafan antarabangsa dan keyakinan pihak Arab Saudi terhadap kecekapan pengurusan operasi haji yang dikendalikan oleh TH di samping tahap disiplin tinggi di kalangan jemaah haji negara turut menjadi penyumbang kepada faktor pemilihan Malaysia”, jelas beliau.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Syed Hamadah Syed Othman pula berkata, TH sentiasa meletakkan tahap profesionalisme yang tinggi ketika mengurus jemaah haji negara di samping komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada para dhuyufurrahman setiap tahun.

Tambahnya, pelaksanaan Makkah Route ini telah meletakkan pengurusan haji TH di tahap yang cemerlang kerana hal tersebut ternyata memudahkan urusan jemaah haji dan ini dapat dilihat melalui peningkatan indeks kepuasan pelanggan yang direkodkan.

“Pihak TH amat berterima kasih kepada kerajaan Arab Saudi yang menyambut baik usaha memperkukuhkan hubungan dua hala ini dan diharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang demi kesejahteraan para dhuyufurrahman,” maklumnya dalam kenyataan yang sama.

Beliau turut berterima kasih kepada kerajaan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) atas sokongan yang diberikan dan penghargaan juga buat semua jemaah negara serta para pendeposit atas kepercayaan mereka kepada TH selama ini.

Majlis Pelancaran Makkah Route bagi Musim Haji 1445H/2024M telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di balai Berlepas KLIA  ketika perlepasan bakal haji kumpulan ke-38 (KT038) yang membawa sebanyak 353 orang bakal haji ke tanah suci dari KLIA pada pukul 2.15 pagi melalui pesawat Saudi Airlines SV 5013.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, TYT Mesaad Ibrahim Al Sulaim, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman serta barisan Pengurusan Kanan TH.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.