21 Mei 2024, 11:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pagoh – Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) baru-baru ini menjalinkan kerjasama dengan Sekolah Menengah Agama Shamsuddiniah (SMAS), Parit Medan dalam penganjuran program literasi kewangan berlandaskan prinsip Islam.

Program ini merangkumi pelbagai sesi interaktif yang memberikan pendedahan kepada para pelajar tentang konsep kewangan Islam seperti zakat, sedekah, wakaf, dan simpanan halal.

Koordinator Program Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari UIAM, Profesor Madya Dr. Siti Salwa Md Sawari menyatakan, program ini bertujuan untuk memantapkan remaja dengan pengetahuan dan kemahiran pengurusan kewangan yang bijak dan beretika mengikut ajaran Islam.

“Objektif program ini antara lain adalah untuk mendidik remaja tentang pentingnya pengurusan kewangan yang bijak dan beretika mengikut ajaran Islam.

“Kami berharap ilmu ini akan memberikan impak yang positif kepada masa depan mereka,” jelas beliau.

Program literasi UIAM-SMAS disokong oleh Geran Tajaan SPIK24-004-0004. Dengan sokongan geran ini, program ini dapat menyediakan sumber dan alat yang lebih baik untuk memastikan kejayaan dan keberkesanan program.

Program tersebut disertai oleh 40 orang pelajar dari SMAS dan diiringi oleh tiga orang guru pengiring iaitu Cikgu Najiha, Cikgu Husna, dan Cikgu Aina.

Sementara itu, Penolong Profesor dari jabatan yang sama, Dr. Siti Yuliandi Ahmad berkata, “Dengan adanya sukarelawan dari kalangan pelajar, program ini dapat dijalankan dengan lebih berkesan.”

“Mereka bukan sahaja membantu dari aspek logistik, tetapi juga berperanan sebagai fasilitator dalam aktiviti, terutamanya permainan HALALopoly yang mendapat sambutan hangat daripada para peserta,” ujarnya.

Para peserta bermain permainan HALALopoly ketika program literasi kewangan Islam antara Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan Sekolah Menengah Agama Shamsuddiniah (SMAS), Parit Medan, baru-baru ini. 

Sebagai maklumat, HALALopoly menggabungkan elemen pengurusan wang dalam Islam dengan cara yang menyeronokkan dan interaktif, membantu pelajar memahami dan mengaplikasikan prinsip kewangan Islam dalam situasi seharian.

“Permainan HALALopoly sangat menyeronokkan dan memberi kami pemahaman praktikal tentang konsep-konsep yang diajar,” kata seorang pelajar yang mengambil bahagian.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.