Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMembaca realiti umat Islam di India, populasinya terus meningkat saban tahun sehingga menjadikan mereka antara kelompok minoriti terbesar di negara tersebut. Seiring pertumbuhan ini, sistem pendidikan Islam turut berkembang pesat melalui penubuhan madrasah, institusi dan pusat pengajian tinggi Islam yang semakin tersusun dan berdaya saing.
Terdapat institusi pendidikan lain, khususnya madrasah menerima pembiayaan yang datangnya daripada organisasi tertentu seperti pertubuhan tarekat, sebagaimana penelitian yang dijalankan oleh Ayjaz Wani dan Rasheed Kidwai bertajuk “Menempatkan Madrasah di India pada Abad ke-21” yang terbit dalam Issue Brief, isu no. 455, April 2021, terbitan Observer Research Foundation.
Namun begitu, pembiayaan yang diperoleh melalui sumbangan orang ramai, tajaan pertubuhan tertentu ataupun lembaga wakaf sebagaimana menurut Ayjaz dan Rasheed, adakalanya tidak tetap atau tidak menentu kerana bergantung pada kesediaan masyarakat Islam itu sendiri. Sebagai contoh, aliran masuk sokongan kewangan hanya meningkat apabila masuk bulan tertentu terutamanya bulan Ramadan. Kesannya, institusi mengalami kekurangan dana untuk menampung perbelanjaan operasi dan menyediakan keperluan asas.
Walaupun dalam keadaan serba kekurangan, jumlah institusi pendidikan yang disebut sebagai madrasah yang beroperasi di negara minoriti umat Islam itu jauh lebih tinggi daripada madrasah yang terdapat di negara Arab. Sebagai contoh, bagi tahun 2018 hingga tahun 2019, India mempunyai sejumlah 24 010 buah madrasah, dengan 19 132 buah diiktiraf manakala 4878 buah lagi tidak diiktiraf. Uttar Pradesh sahaja mempunyai sebanyak 11 621 buah madrasah yang diiktiraf dan 2907 buah madrasah tidak diiktiraf yang menyumbang sebanyak 60 peratus daripada jumlah madrasah di India.
Institusi pendidikan seperti madrasah memberikan banyak manfaat kepada masyarakat Islam di India, khususnya bagi meningkatkan kadar celik huruf dengan menyediakan pendidikan percuma atau berkos rendah kepada komuniti terpinggir, terutamanya di kawasan yang sukar mengakses atau tidak mampu menampung pendidikan arus perdana. Institusi ini juga memainkan peranan penting untuk memelihara tradisi budaya Islam dan pengetahuan agama, walaupun terdapat beberapa madrasah yang mengintegrasikan mata pelajaran moden dalam kurikulum.
Tujuan utama pendidikan moden diintegrasikan dalam kurikulum madrasah adalah untuk meningkatkan kerelevanan sukatan pembelajaran, di samping membolehkan pelajar bersedia untuk bersaing dalam dunia moden seperti memenuhi kekosongan atau keperluan industri dan perjawatan, pada masa yang sama mengekalkan identiti agama dan budaya mereka. Penyepaduan ini juga bertujuan untuk memperkasakan pelajar dengan pengetahuan, kemahiran dan kemajuan teknologi serta membolehkan mereka menyumbang secara positif kepada masyarakat.
Selain menyediakan akses kepada pendidikan yang berperanan sebagai sumber pendidikan penting untuk kanak-kanak, terutamanya dengan menawarkan kemahiran literasi dan numerasi asas secara percuma, madrasah kekal sebagai wadah yang melestarikan budaya dan tradisi Islam dengan bertindak sebagai pusat penyampaian ilmu Islam, bahasa (Arab) dan amalan budaya, sekali gus menyumbang kepada pemeliharaan tradisi agama.
Di samping itu, dengan kemudahan pengajaran yang menyeluruh tentang ajaran Islam yang melangkaui pengetahuan asas untuk meneroka nuansa dan kerumitan permasalahan dalam sesuatu bidang, madrasah menyediakan persekitaran pembelajaran berstruktur. Pelajar boleh membangunkan pemahaman yang mendalam tentang prinsip Islam.
Madrasah juga memberikan sokongan kepada komuniti melalui penyediaan asrama dan makanan kepada pelajar, terutamanya anak yatim. Madrasah juga menawarkan kemahiran hidup penting seperti kemahiran memasak dan menjahit, agar pelajar pada kemudian hari dapat bertindak sebagai tonggak sokongan kepada masyarakat. Secara tidak langsung, perkara tersebut memberikan peluang kepada pelajar untuk membina keyakinan bagi menyara kehidupan, termasuklah kepada golongan wanita untuk membangunkan kemahiran yang mungkin tidak tersedia dalam komuniti mereka.
Kemudahan asas yang disediakan oleh madrasah membantu memupuk minat kanak-kanak untuk mendekati pembelajaran, khususnya dalam pendidikan agama sejak usia kecil sehingga mereka dapat mendalami pelbagai bidang pengetahuan seperti al-Quran, hadis dan undang-undang syariah serta menguasainya ketika dewasa. Dengan hal yang demikian, madrasah dapat melahirkan pemimpin dalam masyarakat yang boleh menyumbang kepada pembangunan sosial dan keagamaan.
Pengintegrasian sukatan tersebut menjadi pemangkin kepada kehadiran banyak pelajar bukan Islam ke madrasah yang sememangnya terkenal dengan tradisi keintelektualan yang kuat. Langkah ini bukan sahaja membantu mereka memahami Islam dengan lebih tepat dan mendekatkan diri dengan komuniti Muslim, malah turut meluruskan persepsi mereka terhadap ajaran dan masyarakat Islam.
Keberkesanan program pengintegrasian sukatan dalam menarik minat pelajar bukan Islam datang belajar di madrasah itu kemudiannya telah diperluas ke negeri lain seperti Maharashtra, Bihar dan Kerala dengan harapan dapat memupuk persefahaman dan berpotensi merapatkan jurang budaya. Menerusi program tersebut, selain menyemarakkan kesedaran dalam kalangan umat Islam untuk membasmi kejahilan serta membina kehidupan dan ekonomi yang lebih baik, persoalan berkaitan dengan pertambahan populasi umat Islam di India saban waktu turut dapat dijelaskan.