17 Jun 2024, 08:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT,

Maksudnya: “Maka tatkala anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Ibrahim berkata, “Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah bagaimana pendapatmu!” Dia menjawab, “Wahai ayahku, jalankanlah apa-apa yang diperintahkan kepadamu! Insya-Allah, kamu akan mendapati aku termasuk dalam golongan orang yang sabar.”

(Surah al-Saffat 37:102)

“Aidiladha” ialah perayaan suci umat Islam. Pada hari tersebut, orang Mukmin disunatkan melakukan ibadat korban, iaitu menyembelih haiwan yang terdiri daripada kambing, lembu dan unta mulai 10 Zulhijah hingga 13 Zulhijah yang dinamakan sebagai hari tasyrik. Tempoh empat hari yang diperuntukkan untuk melakukan ibadat korban tersebut membuktikan betapa tingginya kebaikan ibadat korban, seolah-olah Allah SWT membuka seluas-luasnya peluang dan amat menggalakkan hamba-Nya meraih kebaikan daripada ibadat tersebut.

Ayat 102 Surah al-Saffat tersebut menyeru umat Islam untuk menghayati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. demi mentaati perintah Allah SWT. Maha Suci Allah SWT yang sempurna pengetahuan dan perancangan-Nya, memuliakan kepatuhan Nabi Ibrahim a.s. dan menghargai ketaatan Nabi Ismail a.s. dengan menggantikan ibadat sembelihan haiwan korban sebagai ganjaran kepada mereka yang berjaya melepasi ujian. Pada ayat yang berikutnya, Allah SWT menyifatkan mereka sebagai muhsinin, iaitu orang yang berlaku ihsan.

Pengagihan daging korban dapat memberikan kegembiraan kepada golongan fakir dan miskin.

Apakah hikmah yang boleh dirungkaikan daripada peristiwa ini? Sesungguhnya mentaati perintah Allah SWT lazimnya menuntut pengorbanan dan kesabaran. Kita mengorbankan waktu tidur demi menunaikan solat sunat tahajud pada akhir malam dan solat fardu subuh pada awal pagi. Kita berkorban nikmat makan dan minum untuk berpuasa bagi menginsafi kehidupan yang dialami oleh insan yang tiada makanan. Kita berwakaf, bersedekah dan berkorban harta demi membantu orang yang berada dalam keadaan daif dan miskin. Kita berkorban masa dan tenaga mencurahkan bakti dan melakukan kerja kebajikan untuk kebaikan ahli keluarga, jiran tetangga, masyarakat, umat Islam dan alam semesta. Pada hakikatnya, pengorbanan mendidik kita memupuk sifat ihsan.

Ihsan bermaksud melakukan sesuatu perkara, sama ada ibadat atau apa-apa juga pekerjaan dengan cara yang terbaik dan sesempurna mungkin untuk dipersembahkan kepada Allah SWT, serta meyakini bahawa setiap perbuatan diperhatikan oleh Allah SWT. Ihsan merupakan tingkat kesempurnaan iman seseorang, dan Allah SWT amat mencintai golongan yang berbuat ihsan.

Pada hari raya Aidiladha dan hari-hari tasyrik, umat Islam yang berkemampuan amat dituntut melakukan ibadat korban serta berkongsi rezeki kurniaan Ilahi dengan mengagihkan sebahagian daripada daging korban kepada golongan fakir dan miskin. Insaflah bahawa tidak semua manusia berkemampuan menikmati juadah berlaukkan daging. Dengan hal yang demikian, pada hari tersebut golongan fakir dan miskin turut sama berpeluang menikmati lauk-pauk yang enak hasil ihsan daripada golongan yang berkemampuan.

Namun begitu, perlu difahami bahawa pengorbanan tidak terbatas maknanya dengan melaksanakan ibadat sembelihan korban. Pengorbanan turut bermaksud bahawa umat Islam sanggup menanggung kesusahan dan penderitaan demi kepentingan dan kebahagiaan pihak lain. Sejarah membuktikan bahawa para sahabat Rasulullah SAW daripada golongan Ansar sedia berkorban membantu golongan muhajirin dengan menyerahkan sebahagian daripada harta milik mereka, walaupun sebahagian daripada mereka pada hakikatnya tergolong dalam kalangan orang yang susah. Mereka masih sedia berkorban dengan mendahulukan keperluan golongan muhajirin yang berhijrah ke Madinah sehingga Allah SWT memuji pengorbanan mereka melalui firman-Nya:

Maksudnya:  “Orang (Ansar) yang telah mendiami kota (Madinah) dan telah beriman sebelum (kedatangan) mereka, mengasihi orang yang berhijrah ke tempat mereka. Mereka tidak menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (orang muhajirin) dan mereka mengutamakan (orang muhajirin)  lebih daripada diri mereka sendiri meskipun mereka juga memerlukan. Dan sesiapa yang dilindungi daripada sifat bakhil, maka mereka itulah orang yang berjaya.”

(Surah al-Hasyr 59:9)

Lafaz takbir yang diulang-ulang sepanjang Aidiladha dan pada hari-hari tasyrik, ada menyentuh tentang kemenangan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada umat Islam sehingga mampu mengalahkan tentera ahzab. Kemenangan tersebut tidak akan tercapai tanpa pengorbanan tulus ikhlas para mujahidin yang berjuang mempertahankan Islam dan bumi Madinah daripada serangan musuh.

Penderitaan rakyat Palestin memerlukan pengorbanan dan sifat ihsan umat Islam di seluruh dunia untuk membantu mereka keluar daripada kezaliman rejim Israel.

Dalam suasana semasa, umat Islam tidak boleh melupakan saudara seakidah mereka di Palestin yang kini sedang dizalimi, dibunuh dan dicabul hak mereka. Mereka memerlukan pengorbanan umat Islam di seluruh dunia untuk membantu mereka keluar daripada azab dan penderitaan akibat perbuatan zalim rejim Zionis Israel. Umat Islam wajib bersifat ihsan kepada mereka dan melakukan pengorbanan menurut yang termampu, menghulurkan bantuan kewangan, makanan, ubat-ubatan serta pelbagai keperluan lain demi kelangsungan hidup mereka dan menjaga kesucian Masjid al-Aqsa.

Dalam keriangan menyambut Aidiladha, umat Islam diingatkan tentang perkara yang berikut:

Pertama: Allah memerintahkan hamba-Nya agar berlaku ihsan dalam semua perkara, termasuklah kepada haiwan. Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mewajibkan berlaku ihsan dalam semua perkara. Jika kamu membunuh, maka berlaku ihsan semasa membunuh. Jika kamu menyembelih, berlaku ihsanlah semasa menyembelih. Hendaklah kamu menajamkan pisau dan merehatkan haiwan sembelihan.”

Kedua: Kepada jemaah yang melakukan ibadat korban, hayatilah semangat korban dan bersifat ihsan dengan mengutamakan golongan fakir dan miskin apabila mengagihkan daging korban berbanding dengan bahagian untuk diri sendiri.

Ketiga: Petugas korban juga perlu berlaku ihsan semasa proses sembelihan binatang korban. Ikhlaskan niat ketika menyumbang tenaga tanpa mengharapkan upah. Perlu diingatkan bahawa petugas tidak boleh mengambil upah daripada daging atau anggota haiwan korban. Sagu hati boleh diberikan, tetapi mestilah daripada sumber lain yang bukan berkaitan dengan binatang korban.

Keempat: Kejayaan yang gemilang tidak akan dicapai tanpa pengorbanan yang besar. Hayati semangat pengorbanan dan sifat ihsan agar dapat meningkatkan kualiti amal dalam pekerjaan masing-masing demi membangunkan umat Islam dan kemakmuran yang kukuh.

(Disesuaikan daripada teks khutbah hari raya Aidiladha, 17 Jun 2024, bertajuk “Aidiladha: Pengorbanan Memupuk Sifat Ihsan”)

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.