31 Mei 2024, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perkataan ukhuwah bermaksud “persaudaraan”. Ukhuwah dalam bahasa Arab berasal daripada perkataan akhun yang merangkumi makna saudara, adik-beradik, keturunan dan sahabat. Perkataan “ukhuwah islamiah” pula ditakrifkan sebagai hubungan persaudaraan yang terjalin terbit daripada perasaan kasih serta didasari akidah mentauhidkan Allah yang Maha Esa.

Al-Quran menggambarkan bahawa persaudaraan yang bertunjangkan akidah merupakan nikmat agung kurniaan Ilahi yang perlu dipelihara, dihargai dan disyukuri selaras dengan ayat 103 Surah Ali ‘Imran:

Maksudnya: “Dan berpegang teguhlah kamu semua pada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu berpecah belah. Dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuhan (semasa jahiliah dahulu) lalu, Allah menyatukan hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam) maka menjadilah kamu dengan nikmat-Nya itu orang Islam yang bersaudara dan (dahulu) kamu berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah). Lalu, Allah menyelamatkan kamu daripada neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikian Allah menjelaskan ayat-Nya kepada kamu supaya kamu mendapat hidayah petunjuk.”

Menurut Imam Ibn Kathir, dalam ayat tersebut Allah SWT memerintahkan kewajipan berpegang teguh pada prinsip ajaran Islam yang merupakan kunci terbentuknya ikatan persaudaraan dengan saling bersatu dan tidak berpecah belah, seperti yang berlaku pada era masyarakat Arab jahiliah yang membawa kebencian dan permusuhan. Dirumuskan bahawa ukhuwah akan kekal terpelihara selagi umat Islam menghayati kandungan al-Quran dan mengamalkan sunah Rasulullah SAW.

Persaudaraan yang terjalin erat dalam kalangan masyarakat berupaya mewujudkan semangat kerjasama dan memupuk budaya hormat-menghormati.

Antara tanda kesempurnaan iman seseorang termasuklah apabila ukhuwah islamiah diterjemahkan dalam bentuk penghayatan lalu diamalkan dalam hidupnya. Pelbagai kebaikan dan manfaat bakal diperoleh sekiranya persaudaraan diutamakan, lalu dipupuk dan disemai. Pepatah Melayu ada menyebut, “serumpun bak serai, sesusun bak sirih”, iaitu menggambarkan keadaan masyarakat yang mengamalkan kerukunan hidup berpadu, bersatu hati dan sentiasa bersedia membantu antara satu dengan lain.

Persaudaraan yang terjalin erat dalam kalangan masyarakat berupaya mewujudkan semangat kerjasama, merangkaikan persefahaman, membina kesatuan, dan memupuk budaya hormat-menghormati. Sementara itu, perkara yang telah ada titik persamaan terus diperkukuh, dan perkara yang berbeza pandangan diurus secara berhemah dan bertolak ansur dalam suasana harmoni. Hal ini membolehkan terbentuknya masyarakat yang bermurah hati, saling mendukung tanggungjawab dalam semangat beban sama dipikul, sakit sama ditanggung, lalu bersedia menghulurkan bantuan kepada orang yang memerlukan, dan bersedia juga membantu meringankan tanggungjawab anggota keselamatan dan pihak berkuasa mengurus amar makruf nahi mungkar.

Sesungguhnya, umat Islam yang sentiasa berusaha memelihara, memupuk dan mengutamakan persaudaraan telah melaksanakan amalan murni. Hal ini menjadi sebab turunnya pelbagai rahmat kebaikan dan hidupnya bakal dilimpahi keberkatan Ilahi.

Mengabaikan ukhuwah islamiah akan menjerumuskan diri ke gawang persengketaan, perpecahan dan permusuhan. Pada hakikatnya, pelbagai keburukan bakal melanda umat Islam jika ukhuwah islamiah gagal dihayati dan diamalkan. Hal ini menatijahkan suasana bermasyarakat yang tidak membantu antara satu dengan yang lain, hidup secara nafsi-nafsi, masing-masing mementingkan diri dan tidak mengambil berat atau mempedulikan nasib golongan yang diuji kesusahan.

Sebagai umat Islam, kita wajib bersimpati dengan ujian berat yang sedang dialami oleh saudara Islam di bumi Palestin.

Pada asasnya, orang Mukmin saling bersaudara. Maka itu, selayaknya persaudaraan bersifat mendamaikan dan bukannya memarakkan api permusuhan, apatah lagi menyebarkan kebencian. Imam Syafii berpesan bahawa, “Antara tanda ukhuwah Islamiah sebenar termasuklah sahabat yang bersedia menerima kritikan daripada temannya, menutupi aib temannya dan memaafkan kesalahan temannya.”

Hal ini bermakna bahawa persaudaraan kekal terpelihara jika umat Islam mempamerkan akhlak mulia dan budi pekerti terpuji sesama saudara, dan pada masa yang sama berusaha mendamaikan dua pihak yang bertelagah selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 10:

Maksudnya: “Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu yang bertelingkah itu, dan bertakwalah kepada Allah SWT supaya kamu beroleh rahmat.”

Ukhuwah islamiah menyuburkan sifat ihsan dan menuntut umat Islam mengambil berat akan nasib yang menimpa saudara mukmin di Palestin. Rakyat Palestin hingga saat ini berterusan menanggung penderitaan kerana ditindas dengan pelbagai kekejaman oleh rejim Zionis Israel. Media melaporkan bahawa semenjak Oktober 2023, lebih 35 ribu orang rakyat Palestin menjadi mangsa pembunuhan dengan sebilangan besar mangsa ialah kanak-kanak, warga berusia dan wanita. Lebih 2.3 juta orang penduduk kehilangan tempat kediaman dan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan kemudahan asas seperti air, makanan, pakaian dan perubatan.

Umat Islam wajib bersimpati dengan ujian berat yang sedang dialami oleh umat Islam di bumi Palestin. Mereka wajib tampil memikirkan tindakan yang dapat membantu rakyat Palestin melalui kempen kesedaran al-Aqsa dengan menghulurkan bantuan kewangan, senantiasa mendoakan pembelaan daripada Allah SWT dalam semangat ukhuwah Islamiah, serta mempamerkan hati yang selari dengan sifat mukmin sejati berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Perumpamaan orang mukmin dalam hal saling mencintai, menyayangi dan mengasihi bagaikan satu tubuh. Apabila ada satu daripada anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuhnya akan ikut terjaga (tidak boleh tidur) dan panas (turut merasakan sakitnya).”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Oleh hal yang demikian, umat Islam diberikan peringatan tentang lima amalan yang berikut:

Pertama: Mengutamakan ukhuwah islamiah merupakan kewajipan yang dituntut ke atas setiap Muslim selaras dengan tujuannya membentuk kesatuan ummah, menyatupadukan masyarakat dan mewujudkan suasana harmoni demi kesejahteraan kehidupan.

Kedua: Lazimkan amalan kunjung-mengunjungi, menyebarkan salam, saling bermaafan serta mencari kebaikan sesama ummah.

Ketiga: Melazimkan solat berjemaah lima waktu di masjid agar terjalin hubungan persaudaraan sesama ahli kariah.

Keempat: Melibatkan diri dalam kegiatan kemasyarakatan.

Kelima: Mengambil berat serta menghulurkan bantuan kepada umat Islam yang menghadapi kesusahan tanpa mengira di mana mereka berada.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.