22 Februari 2022, 13:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Islam merupakan sebuah agama yang lengkap lagi sempurna. Ajaran Islam menyentuh sekecil-kecil perkara seperti adab berada di dalam tandas sehinggalah sebesar-besar perkara seperti hal ehwal politik dan pemerintahan negara. Sesungguhnya ajaran Islam kekal relevan untuk setiap perkara, keadaan, tempat dan masa. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah, ayat 3 yang bermaksud, “Pada hari ini, Aku (Allah SWT) telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku (Allah SWT) telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku (Allah SWT) telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”

Seseorang Muslim wajib untuk taat dan mengerjakan segala perintah Allah SWT dan pada yang masa meninggalkan segala larangan-Nya. Ajaran Islam hendaklah dipraktikkan dalam segenap aspek kehidupan seharian yang mencakupi aspek hubungan dengan Pencipta, hubungan sesama manusia, hubungan dengan haiwan, mahupun hubungan dengan alam sekitar. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat 185 yang menyatakan bahawa, “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.”

Bertitik-tolak daripada seruan Allah tersebut, pihak pentadbiran hospital di Malaysia mulai melihat pendekatan konsep Hospital Patuh Syariah (HPS) merupakan satu fardu kifayah yang wajib dilunaskan. Walau bagaimanapun, HPS merupakan satu konsep yang masih baru dalam kalangan umat Islam, khususnya di Malaysia dan ramai yang masih belum menyedari kewujudan HPS di Malaysia.

Hal ini berbeza dengan konsep Hospital Mesra Ibadah (HMI) yang telah dilaksanakan di lebih daripada 146 hospital awam di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), beberapa hospital universiti, hospital angkatan tentera dan hospital di bawah kelolaan agensi swasta. Pelaksanaan HMI telah diperkenalkan secara rasmi sejak tahun 2014 oleh KKM dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), bahkan beberapa hospital lain seperti Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) telah menerapkan konsep HMI lebih awal daripada itu, iaitu pada sekitar tahun 2004 dan begitu juga Hospital Pakar al-Islam di Kampung Baru yang telah mula mempopularkan konsep HMI sejak tahun 2006.

Hospital patuh syariah

HPS ditakrifkan sebagai sebuah institusi yang menawarkan perkhidmatan rawatan dan penjagaan kesihatan kepada orang ramai mengikut prinsip yang telah ditetapkan oleh syariat Islam. Hal ini merupakan suatu konsep yang lebih luas berbanding konsep HMI. Dalam pelaksanaan HPS ini, pematuhan syariah terhadap segala aspek dan aktiviti yang dilaksanakan di hospital bermula daripada proses pemilihan petugas kesihatan seperti doktor dan jururawat mahupun kakitangan pentadbiran sehinggalah kepada proses perawatan, proses jual beli ubat, proses latihan kompetensi dan proses pembayaran dan caj yang dikenakan terhadap pesakit.

Pematuhan syariah meliputi semua aspek dan aktiviti yang dilaksanakan di hospital bermula daripada proses pemilihan petugas kesihatan sehinggalah kepada proses perawatan, jual beli ubat,  dan caj yang dikenakan terhadap pesakit.

Ironinya, konsep HMI hanya berfokus pada penyediaan fasiliti dan pengisian yang bertujuan untuk memudahkan serta menggalakkan para pesakit melaksanakan ibadat ketika berada di hospital. Secara ringkasnya, konsep HPS merangkumi pelaksanaan semua aspek yang mematuhi garis panduan syariah dan salah satu daripadanya adalah pelaksanaan konsep HMI. Maka itu, konsep HPS ini merupakan kesinambungan dan lanjutan daripada konsep HMI yang sedang dilaksanakan di kebanyakan hospital di seluruh negara.

Di Malaysia, pengiktirafan sesebuah hospital sebagai HPS akan melalui proses persijilan dan akreditasi yang dikendalikan oleh Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM Berhad), iaitu sebuah organisasi korporat yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia di bawah Kementerian Kewangan Malaysia. Sesebuah hospital perlu memenuhi piawaian sistem pengurusan kualiti berasaskan syariah (MS 1900: 2014) yang telah ditetapkan oleh pihak SIRIM. Piawaian MS 1900: 2014 adalah berasaskan kepada piawaian sistem pengurusan kualiti ISO 9001: 2015 dengan beberapa komponen tambahan bagi memenuhi keperluan pematuhan syariah.

Sehingga kini, terdapat beberapa buah hospital di Malaysia yang telah berjaya melepasi proses akreditasi pensijilan Piawaian MS 1900: 2014 oleh pihak SIRIM untuk diiktiraf sebagai HPS. Antaranya termasuklah Hospital Angkatan Tentera Terendak di Melaka yang merupakan hospital kerajaan pertama memperoleh pengiktirafan HPS, Hospital Pakar An-Nuur sebagai hospital swasta pertama diiktiraf sebagai HPS dan Sultan Ahmad Shah Medical Centre @ IIUM (SASMEC@IIUM) sebagai hospital pengajar yang pertama berjaya mendapat pengiktirafan HPS di Malaysia. Yang terbaru ialah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) turut berjaya melepasi proses akreditasi pensijilan HPS oleh pihak SIRIM.

Kriteria pengiktirafan HPS

Secara terperinci, sebagai sebuah HPS, terdapat beberapa kriteria yang perlu dipenuhi oleh pihak pengurusan hospital. Pertama, hospital tersebut perlu mempunyai Ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah yang bertanggungjawab bagi memantau dan menasihati pihak pengurusan hospital agar keperluan syariah sentiasa dipenuhi dalam apa-apa jua aktiviti dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak hospital.

Ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah yang dilantik adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai latar belakang pengajian Islam yang baik serta berpengalaman luas dalam urusan hukum-hakam terutamanya yang membabitkan fiqh dan usul fiqh. Hal ini kerana keanjalan dan fleksibiliti fiqh yang berasaskan usul fiqh merupakan teras dalam operasi seharian HPS.

Sebagai contoh, pihak SASMEC @IIUM telah melantik Mufti Negeri Pahang, Sahibus Samahah Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman Bin Haji Osman sebagai salah seorang daripada Ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah SASMEC @IIUM dan pihak Hospital Universiti Sains Malaysia telah melantik Mufti Negeri Kelantan, Sahibus Samahah Dato’ Hj. Mohamad Shukri Mohamad sebagai salah seorang daripada Ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah mereka. Ketokohan, pengalaman dan keilmuan mereka kesemua Ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah amat penting dalam memastikan segala aktiviti yang berjalan di hospital adalah menepati syariat Islam.

Kedua, bagi memastikan setiap nasihat dan panduan daripada Ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah dapat dilaksanakan dalam operasi seharian, HPS disyaratkan mempunyai individu atau kumpulan kakitangan yang mempunyai kelayakan sekurang-kurangnya diploma dalam pengajian Islam atau telah menghadiri latihan khusus bagi memastikan individu tersebut mempunyai kemahiran yang diperlukan.

Ketiga, pihak SIRIM juga telah menetapkan bahawa antara syarat lain yang perlu dipenuhi bagi membolehkan sesebuah hospital itu diiktiraf sebagai HPS adalah melalui pelaksanaan dan pembudayaan nilai murni dalam kalangan kakitangan hospital tersebut. Nilai tersebut merupakan nilai yang dikongsi bersama-sama oleh semua kakitangan hospital dan diterapkan sebagai budaya kerja seharian. Pelaksanaan dan pemahaman berkenaan nilai yang telah ditetapkan hendaklah diukur dari semasa ke semasa dalam memastikan pembudayaan dapat diterapkan secara menyeluruh oleh semua kakitangan hospital.

Keempat, pihak SIRIM juga telah meletakkan beberapa kriteria tertentu bagi membolehkan sesebuah hospital diiktiraf sebagai HPS. Antaranya termasuklah tidak boleh terlibat dalam sebarang aktiviti yang dilarang dalam Islam, sama ada membabitkan produk yang tidak halal atau perbuatan yang bercanggah dengan syariat Islam. Perkara tersebut termasuklah penggunaan ubat-ubatan yang tidak halal tanpa keperluan mendesak (dharurah), pendedahan aurat pesakit melebihi daripada keperluan sebenar, penglibatan dalam mana-mana urus niaga perniagaan yang menggunakan produk yang tidak patuh syariah seperti penggunaan perkhidmatan kewangan dan insurans kovensional yang berasaskan riba, ketidakjelasan (gharar) dan penindasan.

Perkhidmatan yang membabitkan makanan dan minuman di Hospital Patuh Syariah hendaklah bersumberkan daripada sumber yang halal lagi baik.

Kelima, sebarang perkhidmatan yang membabitkan makanan dan minuman hendaklah bersumberkan daripada sumber yang halal lagi baik (toyyib), secara khususnya diiktiraf oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau pihak berautoriti luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM. Semua perkara ini hendaklah dikenalpasti oleh pihak pengurusan hospital dengan meletakkan titik kritikal yang perlu dikawal supaya setiap aktiviti yang berlaku di hospital adalah mematuhi syariah.

Allah SWT telah berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat 275 yang bermaksud,“…Dan Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan telah mengharamkan riba.” Allah SWT juga berfirman dalam Surah al-Ma’idah, ayat 88 yang membawa maksud, “Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah SWT kepada kamu, iaitu rezeki yang halal lagi baik, dan bertakwalah kepada Allah SWT yang kepada-Nya sahaja kamu beriman.” Nabi Muhammad SAW bersabda dalam riwayat Imam at-Tirmidzi (no.1726) dan Ibn Majah (no.3367) yang bermaksud “Yang halal itu ialah sesuatu yang dihalalkan Allah SWT di dalam Kitab-Nya dan yang haram itu sesuatu yang diharamkan Allah SWT di dalam Kitab-Nya.”

Kesimpulannya, pendekatan HPS ini adalah bersifat holistik dan sangat penting buat seluruh masyarakat khususnya umat Islam dalam memberikan manfaat (maslahah) luaran dan dalaman, pada masa sama mencegah daripada kemudaratan (mafsadah).  Pelaksanaan HPS ini menjadikan negara kita sebagai model ikutan oleh negara Islam serantau dan di dunia. Menerusi pengiktirafan sesebuah hospital sebagai HPS, secara tidak langsung meningkatkan keyakinan daripada pesakit untuk mendapat perkhidmatan kesihatan yang disediakan dan paling penting adalah menjadi platform penyebaran rahmat kepada semua pesakit, waris dan seluruh warga kerja hospital.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.