28 Jun 2024, 14:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT,

Maksudnya: “Sesungguhnya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid Allah itu hanyalah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, serta mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat yang tersebut) maka diharapkan mereka termasuk dalam golongan orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

(Surah al-Tawbah  9:18)

Masjid merupakan institusi penting dan lambang kebesaran syiar Islam. Masjid juga berperanan sebagai pusat kegiatan ibadat, pusat perkembangan ilmu, pusat perpaduan ummah dan pusat pembangunan masyarakat. Kehebatan, kecemerlangan dan kejayaan sesebuah masjid amat bergantung pada keupayaan pihak pengurusan dan pegawai masjid yang menyempurnakan tugas secara cekap lagi berkesan.

Selepas peristiwa hijrah Rasulullah SAW ke Madinah, struktur pendidikan Islam menjadi lebih tersusun dan berkembang baik. Baginda menyediakan ruang pengajian bersebelahan Masjid Nabawi yang dikenali dengan al-Suffah sebagai tempat para sahabat mendapatkan ilmu daripada Rasulullah SAW dalam bentuk soal jawab, syarahan, halakah dan perbincangan.

Selain berperanan sebagai sebagai pusat ibadat, masjid juga merupakan pusat kegiatan ilmu dan kesatuan umat Islam.

Rasulullah SAW juga melatih beberapa orang para sahabat menjadi guru dalam pelbagai bidang ilmu di al-Suffah. Antara para sahabat yang dilantik termasuklah Abdullah bin Rawahah, Ubadah bin Samit dan Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah. Bidang ilmu asas yang diajarkan di al-Suffah ialah al-Quran, akidah, syariah dan akhlak. Bidang ilmu dalam Islam berkembang mencakupi ilmu khat, sejarah, bahasa, memanah, menunggang kuda lalu dibudayakan dalam kalangan masyarakat, di samping ilmu pengetahuan lain yang diperlukan dalam kehidupan, merangkumi pendidikan rohani dan jasmani.

Ilmu laksana cahaya penyuluh kebenaran dan menyingkap kejahilan. Orang yang menyusuri jalan ilmu yang benar, lazimnya akan memihak pada kebenaran dan menyanggah kebatilan yang menyesatkan. Ilmu pengetahuan meliputi ilmu fardu ain dan fardu kifayah. Kedua-duanya merupakan keperluan yang sangat asas yang membolehkan manusia hidup sempurna, malah dapat meningkatkan kualiti modal insan untuk membentuk masyarakat yang elok budi pekerti.

Tokoh ilmuwan silam menunjukkan teladan yang unggul dalam usaha mencari, mempelajari, menyampai dan mengamalkan ilmu. Contohnya, Imam Syafii menghabiskan usia dengan mendalami pelbagai bidang ilmu sehingga mampu menghasilkan pelbagai karya yang menjadi sumber rujukan penting umat Islam. Imam al-Muzani, murid kanan Imam Syafii telah menelaah dan mengulang baca kitab al-Risalah karya Imam Syafii sebanyak 500 kali, dan setiap kali membacanya, beliau menemukan ilmu yang baharu. Imam al-Nawawi pula mengkaji dan mempelajari 12 ilmu pengetahuan pada setiap hari, dan pada waktu malam beliau menghasilkan pelbagai karya ilmiah dalam pelbagai cabang ilmu.

Contohi usaha dan kesungguhan para ilmuwan silam menggapai kemuliaan dengan ilmu. Allah SWT memberikan darjat yang tinggi kepada mukmin yang memiliki ilmu pengetahuan berpandukan firman-Nya:

Maksudnya: “… Allah akan mengangkat (darjat) orang yang beriman antara kamu dan orang yang diberikan ilmu (dalam kalangan kamu) beberapa darjat … .”

(Surah al-Mujadalah 58:11)

Kehebatan, kecemerlangan dan kejayaan sesebuah masjid tidak diukur dari segi kecantikan seni binanya, tetapi ditentukan melalui keupayaannya berperanan sebagai teras pemboleh upaya membina budaya dan membangunkan tamadun. Oleh itu, ahli jawatankuasa masjid hendaklah menyediakan pelbagai program yang dapat mengimarahkan dan memakmurkan masjid dengan kehadiran jemaah yang ramai, giat mencelikkan minda dan meningkatkan daya intelek anak kariah, menyediakan program yang sarat dengan nilai persaudaraan, menyediakan persekitaran masjid yang indah dengan kebersihan dan keceriaan, amalan pengurusannya kemas dan cekap menangani keperluan ahli kariah, memperkenalkan kegiatan yang berjaya menarik minat setiap lapisan masyarakat terutamanya para belia, serta mesra terhadap anak sekolah, anak istimewa dan orang kurang upaya.

Kehebatan sesebuah masjid tidak diukur dari segi kecantikan seni binanya, tetapi ditentukan melalui keupayaannya membina budaya dan membangunkan tamadun.

Oleh hal yang demikian, umat Islam diseru supaya menghayati perkara yang berikut:

Pertama: Mencontohi program pengimarahan masjid pada zaman Rasulullah SAW yang diisi dengan pelbagai kegiatan keilmuan, kemasyarakatan dan kemanusiaan yang berjaya menarik minat pelbagai lapisan masyarakat, termasuk menganjurkan kegiatan riadah untuk menarik minat para belia.

Kedua: Majlis ilmu yang dianjurkan di masjid hendaklah diperkaya dengan pelbagai cabang ilmu fardu ain dan fardu kifayah untuk memenuhi keperluan ahli kariah termasuklah menganjurkan kelas bimbingan kepada para pelajar sekolah.

Ketiga: Masjid ialah rumah Allah. Oleh itu, kesucian masjid wajib dipelihara pada setiap masa melalui pengisian dan kegiatan yang mendapat reda Ilahi, menjadi tempat penyatuan dan perpaduan ummah dengan keinsafan bahawa masjid merupakan tempat mulia yang paling disukai oleh Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Negeri yang paling disukai oleh Allah ialah masjid-Nya.”

(Hadis riwayat Muslim)

Oleh itu, masjid wajib dilindungi daripada sebarang bentuk pencemaran dan tidak dijadikan tempat perselisihan, persengketaan, mengadu domba dan menyebarkan fitnah.

Keempat: Jawatankuasa masjid wajib bersifat amanah, memanfaatkan dana sumbangan jemaah untuk meningkatkan kemudahan yang dapat dinikmati oleh ahli kariah serta memperbanyak program bagi kebaikan ummah terutamanya pemerkasaan pengajian ilmu.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 28 Jun 2024, bertajuk “Masjid: Pusat Kegiatan Ilmu dan Pembangunan Masyarakat”)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.