21 Jun 2024, 14:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, apabila kamu menjalankan sesuatu urusan hutang piutang yang diberikan tempoh masa yang tertentu, maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu. Dan hendaklah seorang daripada kamu menulisnya dengan adil (benar).”

(Surah al-Baqarah 2:282)

Hutang atau al-qard merujuk penyerahan sesuatu barang atau harta daripada pemiutang kepada penghutang dengan syarat barang tersebut atau sesuatu yang sama nilai dengannya, akan digantikan kepada pemilik asal tanpa sebarang penambahan.

Hukum memberi hutang ialah sunat bagi tujuan melepaskan keperluan orang yang memerlukan, bahkan boleh menjadi wajib, jika pemiutang mengetahui orang yang berhutang amat memerlukan hutang tersebut untuk menampung keperluan asas hidup. Namun begitu, hukum memberi hutang menjadi haram jika penghutang ingin menggunakan wang tersebut bagi melakukan perkara haram seperti berjudi dan berfoya-foya.

Hutang juga haram hukumnya jika dijanjikan keuntungan kepada pemberi hutang atau lebihan bayaran yang disyaratkan kepada peminjam. Telah menjadi amalan sebahagian pemberi hutang memberi hutang dengan mengenakan syarat kepada yang berhutang untuk membayar lebih daripada hutang asal yang diberikan, kerana jahil tentang hukum atau sengaja melakukannya untuk mendapat keuntungan. Sedarilah! Lebihan bayaran kepada hutang asal yang dipinjam ialah riba, dan perbuatan memakan riba tergolong sebagai dosa besar. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Allah menyusutkan (kebaikan harta yang diurus dengan mengambil) riba dan Dia mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah dan zakatnya. Allah tidak suka kepada orang yang terus kekal dalam kekufuran dan selalu melakukan dosa.”

(Surah al-Baqarah 2:276)

Berhutang hukumnya harus, namun tidak digalakkan tanpa sebab yang mendesak, apatah lagi bagi tujuan untuk bermewah. Bagi mengatur perbelanjaan diri atau keluarga, umat Islam hendaklah membahagikan kepada tiga jenis perbelanjaan.

Pertama: Perbelanjaan daruriyat, iaitu perbelanjaan asasi seperti rumah, makanan, pakaian, perubatan dan pendidikan.

Kedua: Perbelanjaan hajiyat, iaitu keperluan tambahan seperti kenderaan, peralatan rumah seperti peralatan memasak, peti sejuk, mesin basuh dan seumpamanya, serta peralatan untuk urusan kerja seperti komputer dan telefon; juga keperluan simpanan untuk kecemasan dan hari tua.

Ketiga: Perbelanjaan tahsiniyat, iaitu perbelanjaan yang bukan untuk keperluan asas, tetapi perbelanjaan mewah seperti melancong, pakaian dan hiasan yang mahal, telefon pintar yang canggih dan kereta mewah.

Hutang boleh menyebabkan tekanan dalam hidup dan seseorang boleh jatuh muflis jika gagal melunaskan hutang .

Berhutang untuk memenuhi perbelanjaan asasi yang diperlukan hukumnya harus, namun hendaklah dibuat secara berhemah. Berhutang untuk tujuan bermewah pula sangat tidak digalakkan, apatah lagi jika hutang boleh menjadi punca menyebabkan berlaku tekanan dalam hidup serta menjadi punca membolehkan seseorang jatuh muflis apabila gagal melunaskan hutang.

Peribahasa “biar papa asal bergaya” merujuk sifat yang sanggup berbelanja besar kerana mahu bermegah. Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit melaporkan bahawa hasil tinjauan menunjukkan 38.5 peratus daripada 1.5 juta peminjam atau responden didapati bermasalah untuk membayar balik hutang. Kajian tersebut turut mendapati bahawa 31.1 peratus atau 466 500 orang mengaku mereka berbelanja mengikut perasaan, 22.6 peratus membeli bagi mengatasi tekanan, dan 19.5 peratus membeli tanpa memikirkan kegunaan barang atau perkhidmatan yang dibeli.

Berpandukan perangkaan dari tahun 2019 hingga 2023, sebanyak 13 073 orang diisytiharkan muflis, dan paling banyak mereka yang berusia antara 35 hingga 44 tahun. Sebanyak 49.22 peratus kemuflisan yang berlaku di negara ini berpunca daripada pinjaman peribadi. Kad kredit merupakan satu daripada sebab utama peminjam menjadi muflis. Kebanyakan pinjaman peribadi dan kad kredit dibuat bagi tujuan untuk bermewah.

Membayar hutang pula hukumnya wajib. Sengaja berhutang dan tidak mahu membayarnya merupakan suatu kezaliman dan berdosa. Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Menangguhkan pembayaran (hutang) bagi orang yang mampu merupakan suatu kezaliman, jika seorang daripada kamu memindahkan hutang itu pada orang yang kaya, maka terimalah ia (pemindahan hutang).”

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Selain itu, pemberi hutang digalakkan memberi tangguh kepada orang yang berada dalam kesempitan hidup. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan sekiranya orang yang berhutang itu sedang dalam kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga dia beroleh kemampuan. Namun begitu, jika kamu sedekahkan (hutang itu) kepadanya, maka hal itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang akan kamu peroleh kelak).”

(Surah al-Baqarah 2:280)

Selain membayar hutang sesama manusia, jangan lupakan hutang kepada Allah SWT. Hendaklah kita bersegera membayar hutang kepada Allah SWT sebelum kita dijemput menghadap Rabbuljalil. Menurut jumhur ulama, hutang kepada Allah tidak gugur walaupun seseorang itu meninggal dunia. Hutang tersebut perlu dijelaskan menggunakan harta pusaka si mati walaupun tidak diwasiatkan. Hutang kepada Allah SWT termasuklah zakat, fidyah, kafarah dan haji fardu. Mazhab Syafii berpendapat bahawa hutang kepada Allah perlu didahulukan pembayarannya sebelum hutang sesama manusia.

Selain hutang sesama manusia, umat Islam juga perlu bersegera membayar hutang kepada Allah SWT seperti zakat dan fidyah.

Umat Islam diingatkan supaya tidak mengambil harta orang lain secara salah (batil) kerana perbuatan sedemikian akan menjadi hutang di akhirat nanti. Perbuatan yang akan menjadi kita berhutang ketika di akhirat termasuklah menipu, mencuri, rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Perbuatan berunsur hutang yang akan dituntut di akhirat akan mengakibatkan pelakunya menjadi muflis di akhirat.

Oleh hal yang demikian, hayatilah peringatan yang berikut:

Pertama: Berhutang hukumnya harus kepada yang memerlukannya bagi memenuhi keperluan asas, tetapi makruh bagi tujuan untuk bermewah.

Kedua: Uruslah hutang mengikut kemampuan, bukan mengikut kemahuan. Elakkan berhutang kerana perkara yang tidak perlu yang akan menyebabkan berlakunya bebanan dalam hidup seseorang.

Ketiga: Islam menggalakkan orang kaya memberi hutang kepada orang yang memerlukan tanpa mengenakan syarat mengambil keuntungan. Bahkan, orang kaya digalakkan melupuskan hutang orang miskin yang berada dalam kesempitan.

Keempat: Membayar hutang hukumnya wajib dan perlu didahulukan.

Kelima: Jika ada keperluan untuk berhutang, pilihlah institusi pinjaman yang berlesen dan patuh syariah.

Keenam: Jangan mengambil harta orang lain secara salah kerana perbuatan tersebut akan menjadi hutang di akhirat.

 

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 21 Jun 2024, bertajuk “Hutang: Antara Keperluan dengan Kemewahan”)

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.