16 Jun 2024, 09:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ibadat haji melibatkan harta, tenaga dan mental. Jemaah haji perlu mengorbankan wang ringgit untuk menunaikan haji. Sebahagian daripada mereka terpaksa menabung dalam tempoh yang lama untuk menunaikan ibadat haji. Malah, ada yang sanggup menjual harta yang dimiliki untuk membolehkan hajat menunaikan haji tercapai. Selain itu, terdapat jemaah haji yang sanggup berjauhan dengan anak yang masih kecil dalam tempoh masa yang panjang hanya semata-mata ingin menyahut panggilan Ilahi. Keletihan dan kelesuan tubuh badan akibat penerbangan yang jauh dari Kuala Lumpur ke Jeddah diharungi dengan hati yang reda. Akan tetapi, semua hal ini  tidak mematahkan semangat mereka untuk menunaikan rukun Islam kelima. Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepada-Mu dengan berjalan kaki dan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh.” (Surah al-Hajj 22:27).

Sebenarnya semangat jihad ini bermula di tanah air lagi. Bakal jemaah haji sanggup mengorbankan masa pada hujung minggu untuk mempelajari ilmu berkaitan dengan manasik haji. Pengorbanan ini dilakukan kerana menyedari bahawa menuntut ilmu sebelum bergelar dhuyuf al-rahman (tetamu Allah) merupakan suatu kewajipan. Menurut Imam Nawawi, hukum menuntut ilmu berkaitan dengan manasik haji ialah fardu ain ke atas semua bakal jemaah haji.

Mengerjakan ibadat haji memerlukan pengorbanan yang tinggi dari segi harta, tenaga dan mental.

Ibadat haji bukan kembara atau pakej pelancongan yang menjanjikan kemewahan dan kesenangan. Pelbagai ujian dan dugaan akan ditempuh oleh jemaah haji. Mereka akan berhadapan dengan cuaca panas yang melampau di Makkah. Selain itu, mereka akan teruji dengan kesesakan semasa melakukan tawaf dan sai. Perangai jemaah haji yang pelbagai ragam dan terdapat juga yang bersikap kasar semasa tawaf akan menambahkan lagi dugaan semasa mereka ingin menyempurnakan rukun haji, iaitu tawaf. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tiada satu pun yang menimpa seseorang Muslim itu sama ada kepenatan, ditimpa penyakit, kemurungan, kesedihan, kesakitan, sempit dada sehingga duri yang mencucuknya melainkan perkara tersebut akan menjadi sebab diampunkan dosa-dosa kesalahannya oleh Allah SWT.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kemuncak cabaran haji adalah semasa jemaah haji berada di masya‘ir, iaitu di Padang Arafah, Mudzalifah dan Mina. Jemaah haji perlu menghadapi ketidakselesaan akibat bersesak di dalam khemah di Padang Arafah dan Mina. Khemah pada ketika itu akan dipenuhi dengan jemaah haji dan juga beg mereka. Disebabkan jemaah yang terlalu banyak, maka para jemaah akan mengalami kesukaran untuk menggunakan tandas kerana mereka perlu beratur panjang menunggu giliran.

Semua ini memerlukan pengorbanan yang tinggi dalam diri setiap bakal jemaah haji. Terdapat sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a. yang bermaksud, “Rasulullah SAW ditanya: ‘Apakah amalan yang paling afdal?’ Jawab Baginda: ‘Beriman kepada Allah.’ Katanya lagi: ‘Kemudiannya apa?’ Sabda Rasulullah SAW: ‘Berjihad pada jalan Allah.’ Katanya lagi: ‘Kemudiannya apa?’ Sabda Rasulullah SAW: ‘Haji mabrur.’ (Hadis riwayat al-Bukhari).

Ibadat haji menuntut kesabaran yang tinggi kerana para jemaah akan berhadapan dengan pelbagai dugaan dan cabaran.

Selain itu, mereka juga terpaksa berjalan jauh sekitar 3.5 km dari khemah penginapan di Mina untuk ke jamarat bagi menunaikan wajib haji, iaitu ibadat melontar. Mereka akan berulang-alik selama empat hari, iaitu pada 10 hingga 13 Zulhijah jika melakukan nafar thani dan selama tiga hari jika melakukan nafar awwal. Semua ini menuntut kesabaran yang tinggi dalam diri para jemaah haji. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 197 yang bermaksud, “(Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, barang siapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh bercakap kotor, berbuat fasik dan berbantah-bantahan dalam masa mengerjakan haji. Dan apa-apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, nescaya Allah mengetahuinya. Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal ialah takwa dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang yang berakal.”

Jemaah haji yang memilih untuk menunaikan haji ifrad akan berada dalam ihram bagi tempoh masa yang lama. Mereka perlu mematuhi semua larangan dalam ihram. Namun begitu, mereka tetap bersabar dengan peraturan tersebut demi meraih haji yang mabrur. Janji Rasulullah SAW, iaitu ganjaran syurga diyakini sepenuhnya oleh mereka. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Satu umrah ke satu umrah yang lain merupakan penghapus dosa antara kedua-duanya dan haji mabrur itu tiada balasan selainnya melainkan syurga.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kesabaran yang tinggi semasa menunaikan haji perlu dimiliki oleh semua jemaah haji termasuk wanita. Hal ini disebabkan dalam situasi tertentu cabaran kepada mereka lebih besar berbanding dengan jemaah lelaki. Kadang-kala mereka perlu berada dalam ihram yang lebih lama kerana tidak dapat melakukan tawaf akibat kedatangan haid. Perkara ini merupakan kesukaran yang perlu ditanggung dengan hati yang tenang. Sehubungan dengan itu, mereka akan mendapat ganjaran pahala yang besar di sisi Allah SWT. Sayidatina Aisyah r.a. berkata, “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW: ‘Adakah diwajibkan jihad (peperangan) ke atas wanita?’ Jawab Baginda: ‘Ya (diwajibkan jihad ke atas wanita tetapi) jihad yang tiada peperangan padanya, iaitu haji dan umrah.’ (Hadis riwayat Ibn Majah dan Ahmad).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.