15 Jun 2024, 17:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Masyarakat Malaysia kini dilihat tidak melepaskan peluang untuk melaksanakan ibadat korban menjelang Aidiladha. Jika dahulu, jarang-jarang sekali kita dapat melihat pelaksanaan ibadat korban di kawasan kediaman kita, tetapi kini boleh dikatakan setiap masjid berdekatan akan melaksanakan ibadat tersebut.

Kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat berkaitan ibadat korban perlulah dipuji kerana ibadat korban merupakan antara yang mampu mendekatkan diri kepada Allah SWT. Kini, masyarakat kita turut memilih melaksanakannya di luar negara melalui pakej yang ditawarkan oleh agensi tertentu walaupun ada perdebatan tentang isu tersebut saban tahun.

Korban pada bahasanya berasal daripada perkataan Arab yang membawa maksud  “pendekatan”. Menurut Kamus Dewan Perdana, korban bermaksud amalan menghampirkan diri kepada Allah SWT dengan menyembelih binatang ternakan (lembu, kambing, kerbau dan lain-lain) pada 10 Zulhijah atau tiga hari selepasnya (hari tasyrik) dengan mengagihkan sebahagian daripada daging itu kepada fakir miskin.

Dalam bahasa Arab, ibadat korban lebih masyhur dengan perkataan udhiyah yang membawa maksud pengorbanan. Uqbah bin Amer dan rakan-rakan dalam kertas kerja mereka yang bertajuk “Hukum-hakam dan Isu-isu dalam Ibadat Korban” menyatakan ibadat korban terbahagi kepada dua, iaitu korban sunat dan korban wajib, yakni korban yang dinazarkan.

Dalil pensyariatan ibadat korban adalah berasaskan ayat  al-Quran yang bermaksud, “Oleh itu, kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai syukur).” (Surah al-Kawthar 108:2).

Menurut laporan yang disiarkan baru-baru ini, penternak dan pembekal haiwan ternakan di beberapa negeri gusar apabila permintaan terhadap lembu, kerbau dan kambing tempatan untuk ibadat korban tahun ini turun mendadak ketikamana sambutan Hari Raya Aidiladha tinggal beberapa hari sahaja lagi.

Walaupun laporan tersebut mengatakan permintaan dan tempahan haiwan korban didapati menurun secara ketara, tetapi berdasarkan pemerhatian penulis, trend melaksanakan ibadat korban dalam kalangan masyarakat semakin meningkat saban tahun. Hal ini dikatakan demikian kerana masyarakat semakin sedar betapa pentingnya ibadat korban yang disyariatkan setahun sekali ini buat mereka.

Namun begitu, masyarakat kini dilihat lebih memilih untuk melaksanakan ibadat korban di luar negara kerana harganya yang jauh lebih murah berbanding di negara kita. Tambahan pula, dengan ledakan teknologi kini yang membuatkan urusan ibadat korban di luar negara menjadi lebih mudah berbanding dahulu.

Trend melaksanakan ibadat korban di luar negara sebenarnya pernah menjadi isu berbangkit saban tahun kerana ada pendapat yang menyatakan lebih afdal untuk seseorang melaksanakan ibadat korban di tempatnya sendiri.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-66 yang bersidang pada 25 November 2004 turut memutuskan bahawa hukumnya harus untuk mengagihkan daging korban ke tempat atau negara lain.

Hukum tersebut dibuat setelah meneliti beberapa pandangan daripada badan fatwa dan ulama kontemporari. Terdapat pendapat yang menyebut tentang keharusan memindahkan ke negara yang wujudnya banyak pihak yang lebih memerlukan.

Syeikh Muhammad bin Muhammad bin al-Mukhtar al-Syanqiti berpendapat bahawa ibadat korban di luar negara adalah sah dan pelakunya akan mendapat pahala melakukan ibadat korban. Tambah beliau, walau bagaimanapun, melakukan ibadat ini di kawasan tempat tinggalnya adalah lebih afdal. Namun begitu, sekiranya ibadat korban dilakukan di kawasan kediamannya dan dilakukan juga di luar negara yang berdepan dengan kesukaran, maka itu adalah lebih baik.

Trend pelaksanaan ibadat korban di luar negara semakin meningkat dan menjadi pilihan ramai.

Secara asasnya, sembelihan haiwan korban sunat dilakukan oleh orang yang berkorban dengan tangan sendiri yang disepakati paling afdal kerana perkara tersebut suatu ibadat, malah Rasulullah SAW selalu menyembelih sendiri haiwan korbannya.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a., katanya: “Nabi Muhammad SAW menyembelih dua ekor kibas yang berwarna putih dan terbaik, yang bertanduk besar sebagai korban dengan tangannya sendiri sambil menyebut nama Allah dan bertakbir, serta Baginda meletakkan kakinya di tengkuk kibas tersebut.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim),

Selain itu, ibadat korban lebih afdal dilaksanakan di tempat sendiri kerana jika tidak dapat menyembelih sendiri haiwan korbannya kerana uzur dan sebagainya, maka sunat bagi orang yang berkorban untuk pergi menghadiri majlis penyembelihan bagi menyaksikan upacara tersebut.

Hal ini dikatakan demikian kerana dengan melihat sendiri dengan mata kasar, pelaksanaan ibadat korban yang dilakukan tersebut lebih dapat dirasai dan dijiwai secara langsung dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah sehingga lebih berbekas dalam hati manusia.

Bukan itu sahaja, terdapat juga anjuran bagi orang yang melakukan korban untuk makan sebahagian daripada daging korbannya sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud, “Maka makanlah kamu daripada (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.” (Surah al-Haj 22:29). Jadi, umumnya, ibadat korban adalah lebih baik untuk dilakukan di tempat kita tinggal.

Namun demikian, tidak salah bagi individu yang ingin melakukan ibadat korban di luar negara terutamanya di kawasan yang amat memerlukan seperti Palestin dan kem pelarian seperti sempadan Turki dan Jordan. Ibadat korban tersebut juga digalakkan dalam usaha mengurangkan krisis makanan dan kebuluran masyarakat di sana.

Bagi orang yang kurang berkemampuan tetapi tetap ingin merebut ganjaran pahala ibadat korban, sudah tentu pilihan terbaik adalah dengan melaksanakan ibadat korban di luar negara. Trend pelaksanaan ibadat korban di luar negara juga sebenarnya semakin meningkat dan menjadi pilihan ramai selepas negara dilanda COVID-19 yang menyukarkan mereka melaksanakan ibadat korban seperti biasa. Buktinya pada tahun 2021, penyertaan ibadat korban di luar negara dalam kalangan masyarakat kita telah meningkat sebanyak 70 peratus.

Tambahan pula, kenaikan harga lembu yang mengurangkan kemampuan masyarakat untuk melaksanakan ibadat korban di negara kita. Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, harga satu bahagian korban sempena Aidiladha tahun ini masih sekitar RM750 hingga RM850 ke atas dengan anggaran seekor lembu sekitar RM5,000 dan ke atas.

Jika di luar negara, ibadat ini boleh dilakukan dengan hanya membayar serendah RM250. Di samping itu, kini terdapat banyak agensi atau badan bukan kerajaan (NGO) serta individu yang menawarkan perkhidmatan korban di luar negara ini. Hal ini secara tidak langsung membantu dan memudahkan masyarakat untuk melaksanakan ibadat korban di luar negara.

Tuntasnya, trend melaksanakan ibadat korban di luar negara semakin meningkat dalam kalangan masyarakat kerana harganya yang jauh lebih murah daripada yang ditawarkan di negara kita. Bukan itu sahaja, kini terdapat banyak pihak yang menawarkan perkhidmatan korban di luar negara turut mendorong masyarakat memilih melaksanakan ibadat tersebut di sana.

Akan tetapi, masyarakat perlu lebih berhati-hati memilih agensi atau individu yang menawarkan perkhidmatan tersebut bagi memastikan pematuhan akad wakalah dalam ibadat tersebut dipatuhi. Bagi yang berkemampuan, pilihlah untuk melaksanakan ibadat korban di negara kita kerana masih ada golongan yang tidak mampu untuk merasai daging kecuali semasa musim perayaan Aidiladha. Salam Aidiladha!

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.