Oleh Noorilham Ismail
13 Jun 2024, 16:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Peristiwa Hajar mencari sumber air untuk anakandanya, Ismail a.s. tatkala berada di padang pasir nian kontang disebutkan sebagai sai, iaitu perjalanan ulang-alik dari Safa ke Marwah sebanyak tujuh kali yang menjadi satu daripada rukun ibadat haji dan umrah.

Akan tetapi, bukan perbuatan sai yang ingin dikupas oleh penulis, namun tumpuan utama terletak pada keberadaan telaga zamzam selepas pencarian air oleh Hajar. Huraian yang hendak disampaikan berikutnya berkisar tentang kesan berangkai dengan adanya telaga tersebut lalu membawa analogi untuk kita sama-sama fikirkan ibrahnya.

Secara lahiriah, limpahan mata air bekas hentakan kaki oleh cahaya mata Hajar itu telah menjadi sebab musabab kepada pertumbuhan kehidupan di tengah-tengah padang pasir nan gersang. Bermula dengan menghilangkan kehausan si anak dan si ibu, sumber air yang dinamakan sebagai zamzam itu kemudiannya memberikan kita kesedaran bahawa air sebagai satu keperluan dalam kehidupan.

Air merupakan asas kerana manusia masih berupaya untuk bertahan hidup lebih lama tanpa makanan berbanding dengan ketiadaan air. Secara tersirat, peristiwa terbentuknya telaga zamzam boleh diumpamakan sebagai ruang perbendaharaan yang menyimpan rasa gembira dan syukur pada pihak Hajar setelah berpenat lelah mencari air untuk anakanda tercinta ketika itu. Kita tidak terbayang betapa bahagianya hati beliau tatkala tibanya pertolongan Allah berupa sumber minuman yang tidak terjangkau dek akal fikiran manusia.

Secara zahirnya, sumber air ialah unsur yang terdiri daripada hidrogen dan oksigen. Namun begitu, pada hakikatnya unsur ini ialah rahmat Allah buat kesinambungan penghidupan hayat yang bernyawa di dunia. Nikmat air zamzam merupakan suatu keberkatan kekal seperti sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “Sesungguhnya ia (air zamzam) air yang penuh dengan keberkatan dan mengandungi makanan yang mengenyangkan.” (Hadis riwayat Muslim).

Dengan adanya telaga zamzam tersebut, mukjizat kurniaan Allah itu telah menggamit kabilah dagang untuk singgah serta menetap. Mereka seterusnya membanyakkan manusia untuk tinggal di sekitar kawasan berkenaan sehingga lahir generasi turun-temurun dengan petempatan kekal, sistem sosial di samping kegiatan ekonomi yang memakmurkan bumi Makkah.

Corak kebudayaan Arab Quraisy bersama-sama suku lain terus-terusan membentuk mobiliti masyarakat dengan keupayaan dan cara hidup mereka. Jika Tamadun Mesir Kuno lazimnya dikenali dengan keberadaan Sungai Nil dan Tamadun Cina pula beridentitikan Sungai Hwang Ho, tetapi peradaban manusia di Makkah hanya berasaskan sebuah telaga yang mampu mencambahkan kehidupan.

Bukan sahaja pertumbuhan sosial di Makkah itu wujud pada era Nabi Ismail semata-mata, tetapi kedinamikan masyarakat di situ terus bermandiri hingga zaman kelahiran Nabi Muhammad SAW yang diikuti dengan tempoh penurunan wahyu al-Quran di Gua Hira’ serta peristiwa pembukaan kota Makkah dan keberadaan negara Arab Saudi kini.

Peradaban manusia di Makkah hanya berasaskan sebuah telaga yang mampu mencambahkan kehidupan.

Seandainya telaga zamzam menjadi faktor geografi kepada terbinanya sebuah ketamadunan, telaga keinsanan dalam diri yang bersumberkan akal seharusnya berperanan sebagai penghasil material dalam tamadun manusia.

Perkara yang dihasilkan itu seharusnya wujud dalam bentuk karya intelektual dengan laras wacana tinggi dan peralatan teknologi untuk keperluan seharian seperti telekomunikasi, pengangkutan, jaringan perhubungan, perisian digital serta aset pertahanan negara. Melalui akal rasional dan pemikiran yang bijaksana, penggalian terhadap hikmah serta ilmu pengetahuan dapat terlaksana dengan mudah tatkala kita sedang melewati zaman penuh cabaran.

Jika kita telusuri semula masa lalu dalam peradaban Islam, nama seperti al-Farabi lazimnya dikaitkan dengan karya al-Madinah al-Fadhilah, Ibn Sina melalui karya al-Qanun fi al-Tib dan Ibn Khaldun menerusi al-Muqaddimah. Tidakkah kita berasa cemburu terhadap mereka yang menghasilkan magnum opus untuk keperluan zaman masing-masing? Sepatutnya kita lebih produktif dan proaktif dalam menggeledah timbunan maklumat hari ini bagi menggubah hasil ilmiah untuk kemaslahatan sezaman.

Biarpun sudah ribuan tahun lamanya, namun telaga zamzam masih tidak kering di bumi Makkah hingga kini untuk diminum oleh umat manusia. Saban tahun, jemaah haji dan umrah pasti akan membawa pulang bekalan air zamzam ke tanah air masing-masing mengikut kadar tertentu. Hal ini menunjukkan kepada kita betapa luas limpah keberkatan yang diberikan oleh Allah terhadap kejadian telaga zamzam supaya dapat terus dinikmati oleh manusia dari satu generasi ke satu generasi.

Daripada keadaan air zamzam tersebut, baiklah kiranya kita teladani perkara itu dengan usaha untuk menggali telaga keinsanan dalam diri yang berupa perbuatan baik sesama manusia. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sebaik-baik manusia ialah yang paling bermanfaat bagi manusia.” (Hadis riwayat Ahmad).

Dengan lidah, kita boleh memberikan kebaikan melalui perkongsian ilmu dan nasihat, manakala dari anggota seperti tangan pula dapatlah kita gunakan dalam bentuk bantuan fizikal secara bersedekah dan sebagainya. Kebaikan yang ada ini ‒ dengan izin Allah ‒ akan mengalirkan ganjaran pahala serta limpahan rahmat berpanjangan di dunia mahupun akhirat.

Amal ibadat khusus yang dikerjakan dapat membina hubungan dengan Allah, manakala perbuatan baik sesama insan akan mengukuhkan ikatan horizontal bersifat hablu min al-nas (hubungan dengan manusia) bagi menyuburkan rasa kemanusiaan.

Kesimpulannya, keberadaan telaga zamzam di bumi Makkah menjadi asbab terbentuknya sejarah dan peradaban manusia hingga puluhan kurun masanya. Tentang telaga keinsanan dalam diri, marilah kita pastikan nilai tersebut sentiasa terjaga dan dipelihara agar tidak tertimbus dek keangkuhan serta kejahilan.

Perkara demikian perlu diberikan perhatian kerana mempunyai kepentingan manusiawi supaya diri kita yang diamanahkan oleh Allah ini tidak terbiar dalam ketandusan makna insan persis bumi Makkah sebelum hadirnya telaga zamzam sebagai sumber kehidupan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.