24 Mei 2024, 14:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, dengan menerangkan kebenaran! Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu untuk tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu lakukan.”

(Surah al-Ma’idah 5:8)

“Adil” merupakan sifat yang terpuji dan sangat dicintai oleh Allah. Dengan sifat adil, darjat dan kedudukan seseorang akan diangkat, dan dengannya akan menumbuhkan rasa kesatuan sesama manusia. Terdapat 28 kalimah “adil” dalam al-Quran yang membuktikan betapa penting dan utamanya sifat adil dalam kehidupan manusia. Para ulama salaf dan ulama khalaf memberikan tidak kurang daripada 23 pengertian sifat adil. Antaranya termasuklah Ibn ‘Atiyah yang mengatakan bahawa adil bermaksud melakukan kewajipan pada perkara akidah dan syariat, melaksanakan amanah, meninggalkan kezaliman, insaf dan memberikan hak pada yang berhak.

Dalam melaksanakan prinsip keadilan, Islam menggariskan enam bidang, iaitu keadilan hukuman, keadilan ekonomi, keadilan politik, keadilan masyarakat, keadilan kesihatan dan keadilan pendidikan. Demikian keadilan yang digariskan dalam Islam, iaitu meliputi setiap perkara, bersifat sejagat dan melibatkan semua pihak.

Prinsip keadilan sejagat mempunyai kedudukan suci dalam Islam kerana bersumberkan satu daripada nama-nama Allah yang indah, iaitu al-‘Adl. Ayat dalam Surah al-Ma’idah menekankan bahawa keadilan wajib ditegakkan terhadap semua kaum tanpa sebarang pengecualian.

Perintah supaya menegakkan keadilan yang terkandung dalam Surah al-Nisa’ ayat 58 pula didahului oleh perintah menyampaikan amanah kepada mereka yang berhak, iaitu membawa pengertian bahawa keadilan ialah amanah yang wajib dilakukan kepada sesiapa sahaja yang berhak tanpa mengira kaum.

Keadilan merupakan amanah yang wajib dilakukan kepada sesiapa sahaja yang berhak tanpa mengira kaum.

Sahibus Samahah Mufti Negeri Perak menyuarakan pandangan bahawa isu memboikot atau memulaukan perniagaan tertentu harus dihentikan dengan hujah bahawa perbuatan tersebut berlawanan dengan keadilan Islam. Boikot yang dilakukan pada ketika ini tidak menepati sunah Rasulullah SAW, dan boleh menjerumuskan kepada berlakunya kezaliman. Lebih parah lagi apabila isu ini telah disensasikan tanpa landasan ilmu dan tanpa hujah yang benar, sehingga dapat menyemarakkan sentimen atau perasaan benci dan marah. Maka itu, langkah menoktahkan isu ini telah tersasar jauh daripada landasan keadilan Islam sejagat.

Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) berpandangan bahawa isu boikot harus dilihat berdasarkan neraca keadilan dan juga melihat kepada aspek maslahat dan mafsadah secara mendalam. Adakah tindakan yang dilakukan itu adil dan benar, serta mendatangkan kebaikan atau sebenarnya mengundang lebih banyak kemudaratan? Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyeru semua pihak agar mengambil berat tentang hal tersebut, supaya isu ini tidak menjadi semakin keruh sehingga merugikan semua pihak.

Hakikat yang wajib difahami adalah bahawa umat Islam dan bukan Islam di negara ini saling memerlukan. Sebarang ketidakadilan dan keburukan yang menimpa sesuatu pihak akan memberikan kesan kepada pihak yang satu lagi. Oleh itu, penting disemaikan semangat saling menghormati dan amalan saling membantu sesama kita, kerana dakwah islamiah memerlukan suasana tenang dan damai, serta hubungan harmoni antara kaum yang menganut pelbagai agama.

Sebagai contoh, ketika berlakunya perjanjian damai Hudaibiah pada tahun keenam Hijrah, tentera Islam yang bersama-sama Rasulullah SAW pada ketika itu berjumlah 1400 orang. Akan tetapi, selepas dua tahun perjanjian damai termeterai, ketika Fathu Makkah jumlah tentera Islam meningkat 10 000 orang; bererti ketika suasana damai, dalam masa dua tahun sahaja, dakwah islamiah berkembang lebih pesat berbanding dalam suasana tegang dan perang pada tahun-tahun sebelumnya.

Suasana tenang dan damai, serta hubungan harmoni antara kaum yang menganut pelbagai agama diperlukan untuk membolehkan dakwah islamiah berkembang pesat. Al-Quran memberikan panduan kepada umat Islam agar menggunakan pendekatan berhikmah dan tutur kata yang baik dalam misi dakwah.

Perbuatan memboikot terhadap sesuatu kaum sebenarnya tidak selari dengan sunah Rasulullah SAW. Thumamah bin Uthal, ketua kabilah Yamamah telah ditawan oleh sepasukan tentera yang diutus oleh Nabi Muhammad SAW, lalu dibawa ke Madinah. Beliau kemudiannya memeluk Islam dan berangkat ke Makkah untuk menunaikan haji. Setelah mengetahui permusuhan kaum Quraisy terhadap Islam, beliau mengisytiharkan sekatan bahan makanan dari Yamamah kepada kaum Quraisy. Sekatan ini memberikan kesan teruk kepada kaum Quraisy di Makkah, kerana sebahagian besar sumber makanan masyarakat Makkah datang dari Yamamah. Para pembesar Quraisy menghantar utusan menemui Rasulullah SAW, meminta jasa baik Baginda agar perbuatan sekatan makanan ditamatkan. Mendengar permintaan kaum Quraisy, Rasulullah SAW telah meminta Thumamah menghentikan perbuatan menyekat bahan makanan kepada kaum Quraisy. Keluhuran akhlak Baginda tidak membenarkan bahan makanan yang merupakan satu hak asasi paling utama dalam kehidupan manusia, digunakan sebagai senjata dalam pertikaian.

Rasulullah SAW membentuk piagam Madinah, bagi mengatur hubungan pelbagai kaum dalam negara Islam pertama yang ditubuhkan di Madinah. Piagam Madinah menyamaratakan hak dan tanggungjawab antara warga Muslim dengan bukan Muslim. Piagam Madinah menyatakan bahawa warga bukan Muslim membentuk satu ummah bersama-sama umat Islam. Oleh itu, diri dan harta benda warga bukan Muslim diberikan perlindungan yang sama seperti harta benda warga Muslim.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW melarang sebarang perbuatan yang menjerumuskan ke arah perbuatan tidak adil terhadap bukan Muslim, sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Sesiapa yang menzalimi orang kafir (yang menjalin perjanjian dengan Islam) atau mengurangi haknya atau membebaninya atas kemampuannya atau mengambil darinya sesuatu yang tidak ia relakan, maka aku ialah musuhnya pada hari kiamat.”

(Hadis riwayat Abu Dawud)

Para analisis ekonomi berpandangan bahawa pendekatan memboikot yang dilakukan bersifat reaktif dan berasaskan emosi tidak dapat menyelesaikan masalah sebenar. Yang pasti, boikot akan menyebabkan perniagaan yang disasarkan, bukan sahaja mengalami penurunan jualan dan keuntungan, malah berhadapan risiko rugi. Akibatnya gaji pekerja terpaksa dikurangkan, lebih malang apabila urus niaga terpaksa ditutup dan pekerja hilang pekerjaan. Dilaporkan bahawa banyak pekerja dan majoritinya pekerja Islam yang terjejas susulan daripada tindakan memboikot.

Tindakan memboikot berasaskan emosi tidak akan menyelesaikan masalah kerana boleh menyebabkan syarikat mengalami penurunan jualan dan keuntungan, malah berhadapan risiko rugi.

Langkah memboikot premis jualan dan jenama tertentu pula boleh memberikan kesan yang buruk terhadap ekonomi negara. Hal ini demikian kerana syarikat yang terlibat merupakan antara pembayar zakat dan cukai di Malaysia. Dikhuatiri bahawa boikot yang berasaskan emosi dan tanpa perancangan rapi, berkemungkinan turut meruntuhkan ekonomi orang Islam yang terlibat dalam rangkaian pembekalan, pengedaran, pemasaran, pengurusan, urus niaga dan pekerjaan. Malah, usaha negara untuk menarik pelabur, dan kedudukan negara sebagai negara perdagangan dan destinasi pelaburan turut terjejas. Berkurangnya pelaburan bermakna berkurang juga urus niaga, dan berkurang jugalah peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

Oleh itu, beberapa tindakan proaktif seperti yang berikut perlulah diambil:

Pertama: Prihatin dengan apa-apa jua isu yang berkaitan dengan Islam dan syiarnya dengan bertindak secara rasional, segera melaporkan kepada pihak berkuasa agar dapat dilakukan tindakan pembaikan, dan menghindarkan diri daripada dipengaruhi oleh emosi untuk bertindak secara bersendirian yang bercanggah dengan undang-undang yang bakal mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

Kedua: Pihak penguatkuasaan dan pemantauan wajib bersikap tegas dan pantas mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang terhadap perkara yang menyentuh sensitiviti agama. Dibimbangkan kelewatan atau kelemahan tindakan oleh pihak penguatkuasaan bakal mengundang berlakunya keresahan orang awam yang boleh menyebabkan tercetus perbuatan yang menjejaskan ketenteraman awam.

Ketiga: Umat Islam wajib terus berdakwah dan menampilkan wajah Islam yang indah lagi menarik ketika menjalankan kerja dakwah.

Keempat: Memberikan peringatan nasihat kepada orang bukan Islam supaya lebih sensitif terhadap agama Islam dan menghormati budaya umat Islam demi memastikan hubungan harmoni antara agama dengan kaum tidak terjejas.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, bertarikh 24 Mei 2024, bertajuk “Menghayati Keadilan Sejagat dalam Kehidupan Bernegara”)

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.