Syaza Wardina .
Diterbitkan pada 6 April 2023, 11:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bukit Jalil – Penceramah bebas dalam bidang usuluddin dan akidah, Ustazah Suriani Ismail berkata, dalam usaha menyampaikan dakwah, seseorang perlu pandai mengikut trend masyarakat zaman sekarang.

Jika kita ikut trend zaman dahulu, mungkin tiada tarikan dan orang tidak mahu mendengar apa-apa yang disampaikan, jelas beliau ketika program Let’s Talk Content dan Usrah Bersama Mawi dan Anas di EDR, Astro, Taman Teknologi Malaysia, petang semalam.

Barisan pembicara serta hos program Let’s Talk Content bertajuk “Isu-isu Viral: Menyangkal yang Dangkal” yang berlangsung di EDR, Astro, petang semalam.

“Berhubung dengan isu tular berkaitan dengan agama yang berlegar-legar dalam masyarakat, kita cuba harmonikan dengan cara yang baik supaya masing-masing memiliki tanggungjawab terhadap apa-apa yang berlaku.

“Jadi, kita sendiri sebagai orang awam perlu mengambil peranan dan tanggungjawab supaya kita tidak ketinggalan, seiring dengan zaman sekarang,” ujar beliau sejurus selepas sesi perbincangan bertajuk “Isu-isu Viral: Menyangkal yang Dangkal”.

Sementara itu, beliau mengingatkan masyarakat agar sebaik-baiknya berusaha dan sentiasa berada dalam majlis ilmu.

Menurut beliau, “Kita perlu bijak dan bertanggungjawab untuk membuat sedikit kajian mengenai rujukan atau guru yang hendak diambil ilmu daripadanya, iaitu guru yang mempunyai tauliah.”

“Andai kata mereka ada tersilap sedikit dalam penyampaian, kita perlu harmonikan keadaan kerana guru pun manusia biasa yang ada salah silap,” ujar beliau.

Let’s Talk Content dan Sesi Usrah Bersama Mawi dan Anas merupakan program kerjasama antara Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF) dengan stesen radio ZAYAN, yang menampilkan barisan pembicara lain, iaitu penyampai ZAYAN, Faizal Ismail, selebriti, Damian Mikhail, dan Amin Idris yang bertindak sebagai hos. Sesi usrah pula dikendalikan oleh dua orang penyampai ZAYAN, Mawi dan Anas Tahir.

Sesi bergambar Pengarah Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia, Puan Mediha Mahmood dan Pengurus Kandungan ZAYAN, Encik Wan Syahrul Amry Wan Mansor bersama-sama hos dan para pembicara program Let’s Talk Content dan Sesi Usrah Bersama Mawi dan Anas.

Menurut Pengarah Eksekutif CMCF, Puan Mediha Mahmood, program ini dilaksanakan secara interaktif dengan menampilkan individu yang bertauliah, bagi membincangkan isu berkaitan dengan agama yang tular dalam masyarakat dengan niat memperjelas isu tersebut.

“Hasrat kami untuk melihat perbincangan dialog dengan fikiran yang terbuka dan perdebatan yang berhemah, seterusnya menjadi manfaat kepada semua khalayak,” jelas beliau.

Turut hadir ialah Pengurus Kandungan ZAYAN, Encik Wan Syahrul Amry Wan Mansor dan lebih daripada 20 orang pelajar tahun tiga dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.

 

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi