Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangShah Alam – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bersama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan membangunkan garis panduan yang lengkap bagi penganjuran program keagamaan dan kerohanian Islam di Selangor.
Garis panduan tersebut melibatkan pihak berkuasa lain, di samping menilai semula prosedur yang sedia ada.
Pengerusi MAIS, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam kenyataannya semalam berkata, tindakan tersebut bagi memastikan penganjurannya tidak dicemari dengan perkara yang boleh menjejaskan akidah orang Islam, kedudukan agama Islam dan keharmonian masyarakat.
Hal ini timbul berikutan isu penganjuran Festival Darul Ehsan Berselawat di Setia Alam baru-baru ini yang mendapat kritikan daripada pelbagai pihak.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan awal daripada Setiausaha Jawatankuasa Tauliah bahawa pihak penganjur telah mengemukakan permohonan tauliah atau kebenaran sementara pada 18 Disember yang lalu.
Beliau mengulas lanjut bahawa surat jawapan terhadap permohonan penganjur tersebut telah dikeluarkan oleh MAIS pada 24 Disember turut menetapkan beberapa tindakan yang perlu dilaksanakan oleh penganjur dalam program yang dicadangkan.
MAIS menegaskan bahawa semua program keagamaan di Selangor yang melibatkan aktiviti pengajaran berkaitan dengan agama Islam tertakluk pada Peraturan-peraturan Tauliah bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024, hukum syarak dan ketetapan pihak berkuasa agama.
“Ketetapan tersebut dibuat untuk mengekang perkara yang meragukan dan boleh menggugat kedudukan agama Islam di Selangor,” katanya.
Oleh itu, MAIS bersama-sama JAIS akan lebih giat membuat pemantauan bagi memastikan penganjuran program keagamaan dan kerohanian Islam menepati dan selari dengan undang-undang, seterusnya kesucian agama Islam dapat dijaga dengan baik.
Beliau menasihatkan kepada semua penganjur program berkenaan agar merujuk MAIS dan JAIS serta mematuhi undang-undang atau garis panduan yang ditetapkan.
Tambahnya, perkara tersebut adalah untuk mengelakkan sebarang ruang yang boleh mencetuskan salah faham, pertikaian serta pelanggaran hukum syarak dan matlamat hukum syarak.
“Tindakan penguatkuasaan yang tegas akan diambil terhadap tindakan yang bertentangan dengan undang-undang yang berkuat kuasa,” jelasnya.