Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBangkok – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengadakan pertemuan dengan Menteri Cularaja atau Syeikhul Islam Thailand, Syeikh Arun Boonchom Muhammad Jalaluddin Hussin di Masjid Kamalulislam, Khlong Sam Wa, Bangkok.
Beliau yang juga Chularatchamontri atau Chula Rajamontri ialah ketua hal ehwal Islam, mufti serta penasihat utama bidang agama kepada Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kebudayaan negara tersebut.
Turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan disambut oleh Imam dan Ketua Majlis Agama Islam Bangkok, Syeikh Samai Charoenchang.
Pertemuan tersebut merupakan sebahagian daripada program Ziarah Mahabbah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang diketuai oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs di Bangkok dan Ranong, Thailand dari 6 Januari hingga 9 Januari 2025.
Pertemuan tersebut bukan sahaja bertujuan untuk memperkukuh hubungan baik antara negeri Perlis dengan Thailand malah mempererat hubungan umat Islam di Thailand. Sebahagian daripada masyarakat Thailand mempunyai hubungan sejarah yang berasal dari negeri Perlis dan Kedah yang menjadikan hubungan antara kedua-dua negara jiran ini lebih akrab.
Lawatan kerja tersebut bertepatan dengan falsafah Ummatan Wahidah yang melibatkan perkongsian dan perbincangan dalam pelbagai bidang termasuklah kemajuan agama Islam, ekonomi, sosial, pendidikan serta kebudayaan demi manfaat umat Islam.
Kebanyakan penduduk di sekitar masjid tersebut merupakan keturunan yang berasal dari Perlis dan Kedah sejak 190 tahun lalu yang memperkuatkan lagi silaturahim antara masyarakat setempat dengan delegasi Perlis.
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan menyempurnakan sumbangan MAIPs kepada Masjid Kamalulislam berjumlah RM2000 untuk kegunaan aktiviti keagamaan dan mengimarahkan masjid.
Sementara itu, Tuanku Dr. Hajah Lailaitul Shahreen Akashah pula berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs kepada 50 orang anak yatim yang terpilih.