7 Januari 2025, 15:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan melancarkan Sistem Kewangan Terkini MAIPs, sebagai langkah penting dalam usaha memantapkan pengurusan kewangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Sistem ini menggantikan sistem terdahulu yang telah digunakan sejak tahun 2012 oleh MAIPs.

Sehubungan dengan itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran sistem kewangan tersebut sempena program Majlis Sumbangan MAIPs di Masjid Al-Ariffin Padang Katong, Kangar.

Sistem Kewangan MAIPs ini menawarkan ciri baharu seperti fungsi yang lebih baik, kecekapan kerja yang lebih tinggi, pengalaman pengguna yang lebih memuaskan, penggunaan teknologi pengkomputeran awan serta akses fleksibel melalui pelayar web.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, YBrs. Haji Mohd Nazim Mohd Noor, pelaksanaan sistem ini ialah bukti komitmen MAIPs terhadap transformasi digital.

Sistem kewangan baharu ini akan memacu pelaksanaan tugasan dengan lebih efisien tanpa kekangan waktu dan tempat.

“Sistem ini dapat lebih menyegerakan tindakan, meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat dan menyokong usaha MAIPs untuk terus memacu kecemerlangan dalam pengurusan kewangan,” jelas beliau.

Beliau juga menyatakan bahawa sistem ini merupakan sebahagian daripada Pelan Pendigitalan MAIPs 2023 – 2027, selaras dengan inisiatif Pembangunan Amil dalam Pelan Agihan Holistik MAIPs 2.0 serta Pelan Strategik MAIPs 2021 – 2025.

“Kami berharap sistem ini dapat meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap pengurusan kewangan MAIPs dan memastikan setiap sumbangan serta amanah disalurkan dengan lebih sistematik, telus dan cepat,” tambah beliau.

Menurut MAIPs, pelancaran sistem kewangan ini menjadi simbol transformasi MAIPs ke arah pengurusan kewangan yang lebih profesional dan efisien, demi memastikan kesejahteraan rakyat dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat Islam di Perlis.

MAIPs optimis bahawa langkah ini akan memperkukuh usaha mencapai visi dan misinya dalam era pendigitalan.

MAIPs turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa Tekologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan Pendigitalan MAIPs serta semua pihak yang telah memberikan sumbang saran dalam usaha menjayakan pembangunan dan pelaksanaan sistem ini.

“Usaha ini tidak mungkin berhasil tanpa dedikasi dan kerjasama erat daripada semua pihak yang terlibat,” kata YBrs. Haji Mohd Nazim.

Dalam majlis yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra juga berkenan menyalurkan bantuan berbentuk kewangan kepada anak kariah daripada golongan yang kurang berkemampuan dan juga asnaf di negeri tersebut.

Tuanku Syed Faizuddin Putra menyampaikan bantuan kewangan kepada golongan kurang mampu dan asnaf dari kalangan anak kariah di negeri Perlis.
MAIPs menyalurkan sumbangan bernilai RM700 seorang kepada 140 penerima, iaitu 70 dari kariah Padang Katong dan 70 lagi dari kariah Behor Temak.
Setelah pengagihan sumbangan, para penerima turut menjalani pemeriksaan kesihatan percuma serta mengikuti ceramah pencegahan dadah oleh AADK dan sesi motivasi ‘Bangun Jiwa Asnaf’ oleh pihak MAIPs.

Tuanku Raja Muda merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan untuk menyampaikan sumbangan MAIPs sebanyak RM700 secara tunai kepada  70 orang penerima daripada anak kariah Padang Katong dan 70 orang lagi dari anak kariah Behor Temak dengan jumlah penuh pada kali ini disalurkan oleh MAIPs sebanyak RM98,000.

Para asnaf yang terlibat juga berpeluang untuk menyaring kesihatan secara percuma. Penerima juga dikongsikan dengan ceramah jauhi najis dadah daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis dan ceramah ‘Bangun Jiwa Asnaf’ dari pihak MAIPs.

Kredit Foto: Media Raja Muda Perlis
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.