Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah selesai melakukan siasatan berkaitan dengan isu kejadian zikir aneh oleh sekumpulan individu di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Ibukota yang berlaku pada 28 Disember yang lalu.
Menurut kenyataan Pengarah JAWI, YBrs. Tuan Haji Hanifuddin Roslan semalam, tindakan tersebut adalah seperti yang diarahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar sebelum ini.
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa pihak JAWI telah menjalankan siasatan dengan mengambil keterangan pengadu dan menemu bual waris Allahyarham serta pelaku yang terlibat.
JAWI juga telah memanjangkan isu ini kepada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk mendapatkan pandangan dari aspek hukum syarak.
“Pihak JAWI akan mengambil tindakan yang sewajarnya berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Tambahnya lagi, pihaknya menasihatkan kepada masyarakat Islam khususnya supaya tidak melakukan amalan-amalan yang boleh mengundang kontroversi dalam masyarakat.
Terdahulu, YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar telah mengeluarkan kenyataan pada 29 Disember yang lalu bahawa pihaknya telah mengarahkan JAWI untuk membuat siasatan secara terperinci mengenai kejadian tersebut.
Pada masa yang sama, seorang pengguna media sosial, Rizuwan Rosly yang menyaksikan kejadian zikir aneh tersebut menerusi beberapa hantaran video di laman Facebooknya juga memaklumkan bahawa beliau telah membuat laporan dan menyerahkan kepada pihak jabatan agama untuk menjalankan siasatan.