Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menerusi Bahagian Pengurusan Masjid meminta pihak Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail supaya meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan masjid berkenaan.
Pengarah JAWI, YBrs. Tuan Haji Hanifuddin Roslan dalam suatu kenyataannya semalam menjelaskan bahawa perkara tersebut disarankan kepada pihak masjid agar kejadian yang sama tidak berulang lagi pada masa hadapan.
Hal ini berikutan penularan sebuah video yang memaparkan seorang individu memasuki Masjid At-Taqwa setelah dimuat naik oleh seorang pengguna media sosial yang bernama Mohd Jafrie Hussain.
Selain itu, individu terbabit telah mencetuskan suasana yang tidak senang dalam kalangan jemaah ketika waktu subuh pada 1 Januari yang lalu.
Pihak JAWI telah membuat siasatan berkaitan dengan isu ini dan mendapati individu tersebut kelihatan mempunyai masalah mental telah mengganggu para jemaah untuk menunaikan ibadah di masjid.
Menurut kenyataan tersebut, pihak JAWI mengucapkan terima kasih kepada pihak Polis Diraja Malaysia atas tindakan pantas menahan individu berkenaan untuk siasatan lanjut.
“Namun, JAWI amat kesal dengan tindakan seorang jemaah yang bertindak kasar kepada individu berkenaan di dalam masjid tersebut kerana perbuatan itu bukanlah cara Islam dalam usaha menangani sesuatu masalah,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood pada Khamis lalu telah mengesahkan bahawa suspek yang membuat kekecohan termasuk merosakkan televisyen di masjid itu mengalami masalah mental sejak April 2022.
Kata beliau, pihak polis telah mengesan suspek untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.