Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Semua pihak perlu menghentikan sebarang tindakan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara kerana perkara tersebut boleh membawa keresahan awam, khususnya dalam kalangan umat Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar menerusi kenyataannya semalam meminta semua pihak supaya menghormati serta akur kepada Perlembagaan Persekutuan bagi memelihara keharmonian dalam bernegara.
Beliau menegaskan perkara tersebut susulan penularan video yang memaparkan beberapa orang individu cuba menyebarkan agama Kristian di ibu negara, baru-baru ini.
Sekiranya terbukti mana-mana pihak telah melakukan perkara yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang, mereka perlu dibawa ke muka pengadilan.
“Semua pihak dimohon untuk bertenang dan memberikan kepercayaan penuh kepada pihak Polis Diraja Malaysia dalam usaha membuat siasatan terperinci,” katanya .
Terdahulu, video yang berdurasi 54 saat tular di aplikasi TikTok dipercayai warga asing cuba menyebarkan risalah berkaitan dengan ajaran Kristian di hadapan sebuah pasar raya di Desa Setapak secara terbuka sebelum ditegur seorang individu yang beragama Islam.
Dalam video tersebut, mereka kemudiannya beredar dari lokasi berkenaan selepas perbuatan mereka disedari.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail memaklumkan bahawa pihaknya mengesahkan menerima satu laporan pada jam 10.19 malam Isnin lalu berhubung dengan kejadian tersebut.
Ujar beliau, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan usaha mengesan tiga orang individu sedang giat dilakukan bagi membantu siasatan.