Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKangar – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah melaksanakan proses pemeriksaan kira-kira akhir tahun 2024 dengan perkenan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang DiPertua MAIPs. Lembaga Pemeriksa Kira-kira Akhir Tahun 2024 ini dipengerusikan oleh Timbalan Mufti Negeri Perlis, Sahibul Fadhilah Ustaz Tajul Urus Abdul Halim bersama-sama ahli lembaga pemeriksa, Ustazah Khadijah Hariri dan Encik Mohd Rusidan Ishak yang mewakili bendahari negeri Perlis.
Pemeriksaan ini turut dihadiri oleh wakil dari Jabatan Audit Negara, negeri Perlis sebagai pemerhati, sementara pengurusan dan urus setia diketuai oleh Ketua Bahagian Khidmat Pengurusan dan Keurusetiaan MAIPs, Puan Halina Abdul Wahid.
Menerusi laporan yang dibentangkan, lembaga pemeriksa mendapati terdapat peningkatan positif hasil MAIPs oleh semua kumpulan wang bagi tahun 2024. Peningkatan ini menunjukkan keberkesanan pengurusan kewangan serta keberhasilan strategi pengumpulan dana oleh MAIPs termasuklah hasil daripada zakat, wakaf dan derma yang lain.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor menyatakan bahawa prestasi ini mencerminkan komitmen institusi untuk memastikan dana yang diamanahkan oleh masyarakat diuruskan secara telus dan bertanggungjawab.
“Prestasi kira-kira MAIPs ini memberikan keyakinan kepada masyarakat bahawa MAIPs berada pada landasan yang betul dalam menguruskan dana umat Islam dan terus memberikan manfaat kepada asnaf serta komuniti,” katanya.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat memastikan pengurusan MAIPs terus diperkukuh. Baginda berharap agar momentum positif ini dapat dikekalkan dan ditingkatkan pada masa akan datang terutamanya dalam mempromosikan wakaf sebagai satu daripada sumber utama pembangunan masyarakat.
Proses pemeriksaan ini dijangka menjadi asas kepada perancangan strategik MAIPs untuk tahun-tahun mendatang yang memfokuskan pengurusan dana yang lebih cekap dan efektif.