Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan 1446/2025 akan memberikan peluang kepada bakal haji memilih untuk menunaikan ibadat haji sama ada melalui muassasah ataupun pakej oleh Pengelola Jemaah Haji (PJH).
Acara kali ketiga anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) dan Persatuan Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA MALAYSIA) ini berlangsung dari 3 Januari 2025 hingga 5 Januari 2025 di Movenpick Hotel & Convention Centre, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang.
Ketua Jabatan Haji TH, Tuan Haji Mohd Hisham Harun berkata, karnival ini merupakan satu daripada usaha untuk mempromosikan pakej haji yang disediakan oleh 37 buah syarikat PJH yang dilesenkan oleh TH berbanding dengan 25 buah syarikat pada musim haji yang lalu.
“TH memberikan ruang dan peluang kepada bakal haji menilai kesemua pakej yang ditawarkan oleh 37 buah syarikat PJH, di bawah satu bumbung.
“Hal ini memudahkan bakal haji untuk membuat pilihan pakej haji mengikut kemampuan dan cita rasa masing-masing selari dengan tema ‘Pilih Keselesaan, Pilih Pakej Haji’,” jelasnya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh TH.
Kerjasama strategik antara TH dengan RHB Islamic Bank juga membolehkan bakal haji membuat keputusan yang lebih terancang.
Beliau turut mengingatkan orang ramai yang ingin menunaikan fardu haji supaya memilih syarikat yang berdaftar di bawah TH bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku seperti kes penipuan.
Sementara itu, Presiden BUMITRA MALAYSIA, Dr. Wan Muhamad Adam Wan Norudin berkata, karnival ini mencerminkan visi bersama untuk mempromosikan kepercayaan, ketelusan dan kecemerlangan dalam industri haji dan umrah.
Karnival ini dijangka menarik perhatian ramai bakal jemaah haji dengan tawaran pakej yang pelbagai dan kemudahan maklumat di satu lokasi.