30 Disember 2024, 15:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Petani – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) memperuntukkan sebanyak RM14.5 juta bagi memperkasakan golongan mualaf dalam bidang agama, pembangunan dan ekonomi pada tahun 2024.

Peruntukan tersebut berupaya menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh golongan berkenaan dari semasa ke semasa.

Ketua Divisyen Pembangunan Mualaf dan Dakwah Sosial LZNK, Mohd Idris Mohd Yussoff berkata, banyak perubahan telah dinikmati oleh golongan mualaf setelah LZNK memberikan perhatian terhadap bidang tersebut.

Penasihat Biro Haluan Fitrah Malaysia, Yusman Nawazir.

“Melalui kemahiran dan kepandaian memasak, semua mualaf terutamanya wanita akan lebih konsisten untuk berdikari dalam penyediaan makanan secara jualan terus ataupun katering,” katanya.

Semalam, banyak dalam kalangan mualaf di Kedah berpeluang menyertai Program Inisiatif Mualaf Food Court 2024 yang berlangsung di Masjid Kariah Bandar Perdana, Sungai Petani anjuran Haluan Fitrah Kedah dengan kerjasama LZNK.

Pengunjung yang hadir dapat menikmati pelbagai jenis makanan yang disediakan oleh golongan mualaf dalam kalangan Cina, Siam, India, orang asli Ulu Legong, Baling serta masakan mualaf dari Sabah dan Sarawak.

Mohd Idris juga berkata, program sebegini dapat merapatkan hubungan yang lebih baik dan mesra antara mualaf dengan jawatankuasa penganjur, pihak masjid dan lain-lain.

Sebahagian daripada pendengar sedang mengikuti ceramah yang disampaikan oleh Penasihat Biro Haluan Fitrah Malaysia, Yusman Nawazir.

Sementara itu, menerusi program tersebut pengunjung dan peserta berpeluang mengikuti ceramah daripada Penasihat Biro Haluan Fitrah Malaysia, Yusman Nawazir yang juga merupakan tenaga pengajar sejak 20 tahun lalu kepada masyarakat orang asli di negara ini termasuklah di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Air Banun, Gerik, Perak.

Bersempena dengan program itu, banyak anak mualaf tidak melepaskan peluang untuk menyertai pertandingan mewarna.

Tempat pertama dimenangi oleh Noor Alkysha Mohamad Amin, 12 tahun, dari Sekolah Kebangsaan Sungai Pasir Kecil.

Tempat kedua pula dimenangi oleh Noor Afreksha Mohamad Amin, 10 tahun, dari Sekolah Kebangsaan Sungai Pasir Kecil.

Sementara itu, Muhammad Fakrul Muhammad Firdaus Suresh, 10 tahun, dari Sekolah Kebangsaan Bukit Kiara, Sungai Petani pulang sambil tersenyum apabila meraih tempat ketiga.

Para pemenang pertandingan mewarna tersenyum gembira dengan hadiah masing-masing.

Turut hadir ialah Ketua Biro Haluan Fitrah Negeri Kedah, Wan Yusfi Muhammad Abdul; Pegawai Divisyen Bahagian Pembangunan Mualaf dan Dakwah Sosial LZNK, Mohd Naim Islam Abdullah dan Imam Masjid Kariah Bandar Perdana, Dr. Amir Mohd Nason.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.