Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kupasan tentang keunikan dan keindahan perkataan yang digunakan dalam al-Quran yang tidak boleh ditukar ganti dengan perkataan lain diketengahkan dalam buku terbaharu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Perkataan dalam al-Quran dari Aspek Semantik dan Bunyi karya Dr. Mat Taib Pa, Dr. Mohamad Hussin dan Prof. Madya Dr. Siti Sara Ahmad.
Meskipun terdapat perkataan yang sinonim, namun penggantian perkataan tersebut masih tidak dapat menandingi diksi dan bunyinya yang disusun daripada “kalam Allah SWT” yang lebih tepat dan sesuai dengan konteksnya. Penggantian perkataan tersebut bukan sahaja akan mengubah makna, malahan mencacatkan keindahan asal ayat yang disampaikan.
Majlis Pelancaran Buku Perkataan dalam al-Quran dari Aspek Semantik dan Bunyi telah disempurnakan oleh Dr. Ahmad Yussuf daripada Rabitah Antarabangsa Alumni al-Azhar Malaysia (WOAG Malaysia) bersempena dengan majlis Sambutan Hari Bahasa Arab Sedunia 2024 peringkat Universiti Malaya, semalam.
Menurut Ketua Jabatan Bahasa Arab dan Bahasa-bahasa Timur Tengah, Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya, Dr. Ahmad Arifin Sapar dalam ucapan alu-aluannya menekankan peri pentingnya mempelajari bahasa Arab sebagai salah satu bahasa utama dunia yang masih relevan merentas zaman, selain memenuhi keperluan sebagai seorang Muslim yang dapat memahami ajaran yang terkandung dalam al-Quran dan menerapkannya dalam kehidupan harian.
Ujar beliau, naskhah ini sesuai dijadikan teks rujukan pelajar peringkat pengajian tinggi dalam menjadikan al-Quran dan kitab-kitab tafsir sebagai sandaran, dibahas secara kritis dan disokong oleh hujahan para ulama dan ahli bahasa silam, di samping gabungan teori semantik dan balaghah yang sesuai kerana kedua-duanya saling melengkapi agar mesej yang hendak disampaikan terserlah.
Sambutan Hari Bahasa Arab Sedunia 2024 peringkat Universiti Malaya ini turut diisi dengan persembahan pelajar, diskusi ilmiah tentang buku yang dilancarkan, pameran serta penyampaian hadiah pertandingan menulis esei, deklamasi syair dan pertandingan video pendek yang melibatkan sekolah menengah sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, yang kesemuanya disampaikan dalam bahasa Arab.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Dekan Ijazah Tinggi, Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya, Dr. Ang Pei Soo; Ketua Jabatan Bahasa-bahasa Asia dan Eropah, Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya, Dr. Rozita Che Omar; Ketua Editor Bahagian Buku Bahasa DBP, Puan Noraini Abd. Shukor serta pelajar dari Jabatan Bahasa Arab dan Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, serta pelajar sekolah agama dari sekitar Kuala Lumpur dan Selangor yang menyertai program-program yang telah dianjurkan.