19 Disember 2024, 10:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Urusan pemeriksaan kesihatan bakal jemaah haji bagi musim haji 1446H/2025M kini lebih mudah dengan buku rawatan berbentuk digital.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman berkata, hasil transformasi digital Buku Rekod Rawatan Jemaah Haji (BRRJH) dapat menjimatkan masa dan tenaga bakal haji di samping memastikan rekod kesihatan mudah diakses semasa di tanah suci.

“Pada tahun lepas, bakal jemaah haji yang telah menerima surat tawaran melalui aplikasi THiJARI dikehendaki untuk hadir ke pejabat cawangan terdekat bagi mendapatkan BRRJH secara fizikal.

“Akan tetapi, kini tiada keperluan lagi untuk hadir ke pejabat cawangan untuk mendapatkan BRRJH,” jelasnya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurut beliau, bakal jemaah haji boleh membuat semakan menerusi aplikasi THiJARI dan memuat turun surat tawaran tunai haji melalui laman web tersebut.

Seterusnya, katanya, mereka boleh melakukan pemeriksaan kesihatan di fasiliti kesihatan yang mempunyai pegawai perubatan yang berdaftar dengan TH dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta dikehendaki untuk membawa bersama-sama kad pengenalan dan surat tawaran tunai haji.

Proses saringan kesihatan musim haji 1446H/2025M.

Tambah beliau, setelah selesai pemeriksaan kesihatan, bakal jemaah haji akan menerima notifikasi tentang status kesihatan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) atau e-mel dalam aplikasi THiJARI.

Tambah beliau, bakal jemaah haji boleh melengkapkan proses terimaan tawaran haji melalui laman web THiJARI.

Beliau berkata, proses pengisian maklumat oleh bakal haji dan pegawai perubatan juga semuanya dilakukan dalam sistem yang diintegrasikan bersama-sama sistem KKM untuk mendapatkan butiran penuh tahap kesihatan bakal jemaah serta status vaksinasi.

“Kini, bakal haji tidak perlu lagi untuk membawa BRRJH secara fizikal ke tanah suci kerana semua maklumat dan status kesihatan terkumpul dalam satu sistem, sekali gus dapat mengurangkan risiko kehilangan buku rekod tersebut,” jelas beliau.

Katanya, pada tahun ini, Kerajaan Arab Saudi masih mewajibkan bakal jemaah haji mengambil suntikan vaksin Meningococcal.

Sementara itu, bakal haji yang berumur 65 tahun ke atas atau yang mempunyai penyakit komorbid dan mengalami masalah sistem imun lemah diwajibkan untuk mengambil vaksin Meningococcal, Influenza serta COVID-19.

Tambah beliau, buat masa ini, bakal jemaah haji disarankan untuk mengambil suntikan vaksin Meningococcal dan Influenza setelah lulus pemeriksaan kesihatan, manakala bagi vaksin COVID-19, katanya, pemakluman tentang suntikan vaksinasi tersebut akan disampaikan oleh pihak TH atau KKM kemudian.

“Penambahbaikan ini merupakan usaha berterusan TH untuk menjimatkan masa, tenaga serta memudahkan proses persiapan menunaikan haji pada tahun yang akan datang,” katanya.

Tambah beliau, bekal jemaah haji tidak perlu lagi menunggu masa yang lama untuk berurusan selain boleh memilih tarikh dan masa yang bersesuaian untuk membuat ujian kesihatan.

Kredit Foto: Tabung Haji
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.