1 Disember 2024, 13:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dr. Zulkifli Hasan melancarkan buku Iqra MADANI Jilid 1 yang menghimpunkan senarai rujukan karya berkaitan dengan aspirasi dan pemikiran Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Buku tersebut yang dilancarkan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Selangor yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia Alam, semalam, merupakan sebuah inisiatif di bawah Pejabat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

YB Senator Dr. Zulkifli Hasan ketika bercakap dalam Sesi Pentas Utama Pesta Buku Selangor: Budaya Ilmu di Era Malaysia MADANI, beliau memerihalkan mengenai latar belakang penghasilan buku tersebut yang berlaku pada beberapa tahun lalu semasa beliau masih bertugas sebagai ahli akademik di universiti sebelum dilantik menjadi Ahli Dewan Negara.

Saya menghadiri satu syarahan perdana (yang disampaikan) oleh Perdana Menteri ketika itu dan saya amat kagum kerana dalam masa 30 minit, beliau telah menyebut lebih 10 buah karya agung tanpa melihat teks dan mengupas satu persatu dengan teliti berkaitan tahun (penerbitan buku) dan tokoh (penulis).

“Saya melihat betapa hebatnya seorang pemimpin yang (mampu) menguasai teks-teks karya agung yang saya tidak temui pada pemimpin lain yang ada pada hari ini,” katanya.

YB Senator Dr. Zulkifli Hasan (kanan) ketika bercakap dalam Sesi Pentas Utama Pesta Buku Selangor: Budaya Ilmu di Era Malaysia MADANI yang telah dipengerusikan oleh Pengarah di Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, YBrs. Tuan Haji Mohd Khair Ngadiron (kiri).

“Saya masih ingat lagi apabila beliau pergi ke Jepun, beliau telah berbicara tentang seorang tokoh, iaitu Toshihiko Izutsu yang telah menterjemahkan al-Quran dalam bahasa Jepun dan menulis buku God and Man in the Koran serta buku berkaitan dengan teologi Islam dan Buddha,” ujarnya lagi.

Sebelum saya dilantik menjadi Timbalan Menteri, saya sudah mencatat setiap syarahan dan kata-kata beliau yang menyebut tentang buku yang berkaitan, lalu saya mencari (buku tersebut) dan menyenaraikannya.

Justeru, beliau menyatakan bahawa suatu kerugian sekiranya beliau tidak menyenaraikan buku atau karya yang agung tersebut untuk menjadi rujukan kepada generasi pada hari ini mahupun pada masa depan.

Penerbitan buku tersebut berperanan untuk menerapkan kefahaman awal tentang konsep gagasan Malaysia MADANI kepada masyarakat umum menerusi sorotan kesusasteraan, buku serta karya yang utama dan tersohor.

Selain itu, buku berkenaan turut mengetengahkan penulisan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sejak 1990-an sehingga kini yang mengupas dan mengangkat tema MADANI secara konsisten dan menyeluruh.

Antara karya terpilih yang dinyatakan dalam buku tersebut termasuklah buku yang dipetik dalam ucapan beliau sepanjang perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri.

Buku Iqra MADANI Jilid 1 yang telah dilancarkan.
Kredit Foto: Facebook - Zulkifli Hasan
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.