30 November 2024, 17:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar dalam suatu kenyataannya semalam memaklumkan bahawa pihaknya telah menggerakkan Pasukan Sukarelawan Al-Falah MADANI untuk melaksanakan program khidmat bantuan dan pertolongan pascabanjir kepada masyarakat yang ditimpa musibah banjir.

Pasukan Sukarelawan Al-Falah MADANI yang dianggotai oleh semua agensi hal ehwal Islam diselaraskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Selain itu, pasukan yang digerakkan tersebut akan membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Perdana Menteri, agensi-agensi pusat serta pihak berkuasa yang terlibat dalam pengurusan bencana.

Hal ini selaras dengan arahan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim supaya semua kepimpinan tertinggi negara untuk turun padang ke kawasan bencana banjir.

Justeru, pihaknya turut prihatin terhadap musibah banjir pada kali ini yang menimpa beberapa buah negeri dan tidak ketinggalan untuk melaksanakan arahan tersebut.

“Ramai dalam kalangan rakyat yang telah terkesan dengan musibah banjir pada kali ini,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Di samping itu, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut menyeru orang ramai untuk bersama-sama membantu meringankan beban mangsa yang terkesan.

Untuk tujuan tersebut, orang ramai boleh menyampaikan sumbangan pada Tabung Musa’adah Musibah Banjir yang dikelolakan oleh JAKIM dan Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) menerusi nombor akaun bank CIMB, iaitu 8602218186.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.