Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangShah Alam – Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj mencadangkan supaya panduan atau peraturan yang khusus mengenai pengamalan tasawuf dan tarekat yang benar di Selangor diwujudkan supaya memberikan impak positif kepada pembangunan sahsiah umat.
Sehubungan dengan itu, baginda menyokong tindakan proaktif pihak berkuasa agama menerusi penggubalan undang-undang atau enakmen, pewartaan fatwa serta panduan ajaran tasawuf dan tarekat di Selangor.
Titah tersebut disampaikan ketika baginda merasmikan Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang bertemakan “Ilmu Tasawuf Merungkai Masalah Umat” di Auditorium Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, semalam.
“Usaha ini seiring dengan hasrat beta dengan memastikan negeri dan negara ini terus berkembang maju, makmur, rakyatnya sentiasa hidup dalam keadaan harmoni, bertolak ansur serta bersatu padu,” titah baginda.
Selain itu, tindakan penguat kuasa juga perlu ditingkatkan bagi mengekang fahaman ekstrem dan penularan ideologi sesat yang akan mencemarkan nama baik Islam di Selangor khususnya.
Baginda bertitah demikian kerana kebimbangan terhadap pengamalan tasawuf dan tarekat timbul apabila terdapat golongan yang tidak memahami ilmu tersebut dengan tepat atau mempelajarinya daripada guru yang tidak berkelayakan serta tidak memiliki tauliah.
Pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) perlu memastikan bahawa semua penceramah yang menyampaikan pengajaran Islam terutamanya berkaitan dengan akidah, syariat, ilmu tasawuf serta pengamalan tarekat mempunyai tauliah yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Baginda turut menzahirkan kekecewaan apabila mendapati terdapat segelintir daripada umat Islam yang tidak mempunyai kepakaran berkaitan dengan hukum syarak telah mempersoalkan dan mempertikaikan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.
Baginda menegaskan bahawa proses pembuatan sesuatu fatwa dilakukan dengan teliti dan mengambil pandangan daripada pelbagai pihak terutamanya anggota Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan pakar hukum syarak sebelum fatwa tersebut diangkat untuk mendapatkan perkenan baginda sebelum diwartakan.
Oleh itu, baginda menyeru agar umat Islam yang sering mempersoalkan fatwa memahami terlebih dahulu tentang sesuatu fatwa yang dikeluarkan dan merujuk pihak berkuasa agama sekiranya terdapat sebarang kekeliruan atau persoalan yang berbangkit.
Sementara itu, baginda berpandangan bahawa multaqa yang dianjurkan merupakan satu langkah penting ke arah penerapan pemahaman ilmu tasawuf dan tarekat yang benar dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.
Dalam majlis yang sama, baginda turut berkenan menyempurnakan pelancaran Jurnal Fatwa dan Falak Selangor (JUFFAS), Sistem Taudhih al-Ahkam (Penjelasan Hukum) dan Sistem e-Falak Selangor yang merupakan inovasi di bawah Jabatan Mufti Negeri Selangor untuk memberikan kemudahan kepada umat Islam khususnya di negeri Selangor.
Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj diadakan dua tahun sekali dan penganjurannya pada tahun ini merupakan kali kesembilan yang bertujuan untuk mengupas dan menjelaskan kepada masyarakat tentang isu yang sedang dibincangkan oleh khalayak umum.
Turut hadir dalam majlis perasmian multaqa tersebut ialah Menteri Besar Selangor, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Amirudin Shari; Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Yang Berhormat (YB) Dr. Mohammad Fahmi Ngah; Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, YB Dato’ Setia Haji Haris Kasim; Sahibus Samahah Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, YAD Dato Setia Prof. Madya Dr. Anhar Opir; dan pegawai kanan kerajaan negeri.