Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Buat julung-julung kalinya, sebanyak 7563 hadis dalam kitab Sahih al-Bukhari berjaya dikhatamkan bacaannya di Masjid Putra, malam semalam dan bacaan hadis terakhir telah disampaikan oleh Mufti Besar India, Sheikh Abu Bakar Ahmad al-Malibari.
Majlis Perasmian Khatam Hadis Sahih al-Bukhari Peringkat Antarabangsa pada tahun ini disempurnakan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Dalam majlis tersebut, beliau berkata,
Sekitar tiga atau empat tahun yang lalu, saya pergi ke sebuah markas di Kerala (India) dan menyaksikan usaha yang diikhtiarkan oleh anak-anak bawah pimpinan al-‘Allamah Sheikh Abu Bakar Ahmad al-Malibari (menerusi) pusat ilmu pengajian, masjid, universiti dan hotel dalam suatu lingkungan yang menyemarakkan roh Islam dan pengajiannya yang mendalam.
“Antara pesanan beliau kepada saya (termasuklah) apabila telah memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, usahakanlah majlis yang disebut sama’ (kitab) Sahih al-Bukhari diadakan pada setiap tahun,” kata beliau.
Kemajuan, pembangunan dan kemapanan dalam negara madani (bertamadun) mesti berteraskan nilai, keyakinan dan akhlak dan semua perkara tersebut tiada ertinya sekiranya meminggirkan soal keyakinan, jati diri, akidah dan akhlak.
Sebab itulah untuk menyemarakkan Islam ini, persiapan, pencerahan dan ilmu sangat penting.
Kita mulakan mata pelajaran dan ilmu wajib dalam semua sistem pendidikan negara kita kepada semua anak Islam untuk menelaah Hadis 40 (Imam al-Nawawi), terjemahan dan syarahnya, dan kemuncaknya sudah tentulah penguasaan ilmu al-Quran dan hadis seperti majlis yang kita upayakan ini.
Selain itu, acara pengijazahan sanad hadis Sahih al-Bukhari dalam majlis tersebut dipimpin oleh Mufti Besar India, Sheikh Abu Bakar Ahmad al-Malibari sebelum diakhiri dengan bacaan doa.
Acara pengijazahan hadis turut disusuli oleh beberapa orang ulama tempatan serta luar negara seperti al-Habib Ali Zaenal Abidin al-Hamid, Sheikh Issam al-Subu’i (Tunisia), Profesor Dr. Sheikh Yusri Rushd Sayid Jabr al-Hasani (Mesir), Profesor Dr. Sheikh Jamal Faruq (Mesir), Sheikh Ismoil Muhammad Sadiq (Uzbekistan) dan Sheikh Muhammad Awwadh al-Manqush (Libya).
Terdahulu, Sheikh Abu Bakar Ahmad al-Malibari dalam syarahan perdana beliau menjelaskan bahawa justifikasi Imam al-Bukhari meletakkan bab pertama dalam kitab Sahih al-Bukhari, iaitu Kitab al-Wahy adalah untuk menjelaskan permulaan agama Islam bersumberkan penurunan wahyu kepada Rasulullah SAW sebagai utusan umat manusia.
Selain itu, pengakhiran setiap manusia bergantung pada kebaikan dan keburukan yang dilakukan semasa di dunia dan segala amalan tersebut akan ditimbang pada hari akhirat kelak tanpa lebih atau kurang sedikit pun kerana Allah SWT Maha Mengetahui tentang makhluk segala-galanya.
Menurut beliau, penganjuran majlis tersebut di negara ini merupakan suatu perkara yang luar biasa dan mengingatkan beliau tentang wasiat gurunya pada 60 tahun yang lalu sebelum beliau menjadi seorang pengajar di universiti berkaitan dengan pembelajaran kitab Sahih al-Bukhari.
Majlis Perasmian Khatam Hadis Sahih al-Bukhari Peringkat Antarabangsa Tahun 2024 merupakan acara penutup bagi Majlis Sama’ Hadis Sahih al-Bukhari Antarabangsa yang telah berlangsung selama 11 hari bermula pada 10 November 2024 hingga semalam, dengan kehadiran kira-kira 1000 orang peserta pada setiap sesi bacaan hadis.
Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee; Mufti Wilayah Persekutuan, YBhg. Sahibus Samahah Datuk Profesor Madya Dr. Luqman Haji Abdullah; Menteri dan Timbalan Menteri serta pegawai kanan kerajaan.