2 November 2024, 14:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah supaya umat Islam di negeri itu membayar zakat kepada amil yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Dalam satu hantaran di laman Facebook Royal Selangor Office semalam, baginda mengingatkan bahawa MAIS merupakan pihak yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan hal ehwal Islam di negeri Selangor termasuklah urusan pelantikan atau pentauliahan amil zakat.

“Dalam memastikan pengurusan ibadah zakat dilaksanakan dengan baik dan teratur, Allah SWT telah menyerahkan mandat bagi menguruskan kutipan dan agihan zakat kepada pihak ulil amri atau pemerintah di sesebuah tempat”, titah baginda.

Baginda bertitah demikian berikutan masih lagi terdapat kes ejen yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri tertentu telah mengutip zakat di negeri Selangor, iaitu di luar kawasan yang diperuntukkan.

Jelas baginda, janji pulangan rebat yang lumayan menyebabkan ejen tersebut menjadi rakus mengutip zakat sehingga merentasi negeri lain walaupun menyalahi Akta Kesalahan Jenayah Syariah negeri berkenaan.

“Jika kutipan zakat di negeri Selangor “diseludup” ke tempat lain oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, sudah tentu golongan asnaf yang sepatutnya menikmati bantuan zakat akan dizalimi dan hak mereka juga dinafikan,” tambah baginda.

Justeru, perbuatan mengutip zakat di luar sempadan negeri merupakan satu kesalahan sekiranya dilihat dari sudut hukum syarak serta zakat yang dibayar kepada ejen yang melanggar dan merentas sempadan Majlis Agama Islam Negeri adalah tidak sah.

Hal ini demikian kerana dana zakat di negeri Selangor sangat penting untuk menyantuni para asnaf dan jumlah yang diperlukan adalah sebanyak RM1.36 bilion.

“Cuba kita bayangkan, zakat yang dibayar kepada pihak yang tidak bertanggungjawab disangka sah dan telah memenuhi kewajipan berzakat, rupa-rupanya tidak sah dan kewajipan berzakat masih lagi belum tertunai.

“Apakah kesannya pula jika tidak menunaikan zakat? Nasib orang-orang yang tidak membelanjakan harta mereka untuk membayar zakat adalah azab seksa yang amat pedih di akhirat kelak”, titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Selangor bertitah dan menyeru umat Islam di negeri tersebut untuk memahami dan menghayati inti pati khutbah Jumaat yang disampaikan oleh khatib di masjid seluruh Selangor yang bertajuk “Bayarlah kepada Amil yang Dilantik di Selangor” semalam.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.