Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Majlis Malam Puisi Antologi Sirah Nabawiyah anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Kuala Lumpur pada 30 Oktober memberikan ruang kepada hadirin untuk memartabatkan dakwah melalui seni dan sastera.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, “Suatu ketika dahulu, ketinggian kesusasteraan Islami memainkan peranan penting untuk menzahirkan emosi dan menarik perhatian, selain mengangkat martabat peradaban Islam.”
Hari ini, ruang inilah yang perlu digunakan untuk melestarikan dakwah.
“Malam puisi ini akan mengingatkan masyarakat akan perjuangan Rasulullah SAW dan seterusnya diaplikasi dalam kehidupan seharian,” ujarnya dalam majlis tersebut.
Majlis Malam Puisi Antologi Sirah Nabawiyah diadakan bertujuan untuk mengajak peserta dan masyarakat menghayati dan memperingati sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW, yang diadakan sempena Program Dakwah Negara 2024 dan sambutan Maulidurrasul.
YB Senator Dr. Zulkifli ketika merasmikan majlis mengucapkan tahniah atas penganjuran program ini yang menurut beliau tepat pada masanya.
Beliau turut mendeklamasikan Puisi nukilan sendiri bertajuk “Agamawan”.
Buat pertama kali, dipersembahkan lagu nasyid terbaru yang didendangkan Mirwana dan Zawfan bertajuk Dunia Indah Bersama.
Menurut YB Senator Dr. Zulkifli yang juga seorang daripada penulis lirik lagu ini, lagu tersebut sesuai dijadikan tema kemanusiaan, perpaduan, kedamaian, dan persaudaraan.
Alunan dan susunan muzik serta lirik bertepatan dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Menurut beliau lagi, lagu ini cuba menjemput pendengarnya memperkukuh tali persaudaraan akibat perbezaan dan pertembungan.
Katanya,
Sifat toleransi dan saling memahami adalah penting penting untuk membina satu suasana masyarakat yang aman dan makmur.
Dunia Indah Bersama akan diedarkan secara digital oleh SoofiMedia dan BelieveMusic dan boleh didapati di semua platform digital seperti Spotify dan Apple Music mulai 1 November 2024 ini.
Selain YB Senator Dr. Zulkifli, yang turut mendeklamasikan sajak ialah Sasterawan Negara, Dato’ Dr. Rahman Shaari; Yang Dipertua YADIM, Datuk Hasanuddin; Timbalan Yang Dipertua YADIM, Profesor Madya Dr. Adi Anuar Azmin; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Ustaz Zamri Zainal Abidin; dan beberapa lagi penggiat seni sastera terkemuka negara seperti Ahmad Fedtri Yahya dan Sani Sudin (Kopratasa).