Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBangi – Benua Equestrian Stable dengan kerjasama Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) baru-baru ini menganjurkan Karnival Best Pertunjukan Kuda dan Memanah Tradisional bertempat Benua Equestrian Stable, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Karnival yang diadakan bermula pukul 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari ini menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti pertunjukan seni memanah tradisional dan pameran makanan.
Ketua Projek Karnival Best merangkap Pegawai Kanan Bahagian Penjanaan Dana IR Malaysia, Encik Mohd Hafiz Ab Majid berkata, karnival ini diadakan bertujuan untuk memperkenalkan sukan sunah, iaitu memanah dan berkuda di samping beramal bagi membantu golongan kanak-kanak yang memerlukan.
“Setiap pembelian tiket akan menyumbang kepada tabung Charity Week IR Malaysia untuk membantu murid-murid di sekolah pedalaman Sarawak,” katanya.
Ujar beliau,
Masuk ke karnival adalah percuma, namun kami menyediakan tempat duduk di bawah khemah yang boleh ditempah melalui pembelian tiket khas untuk pertunjukan berkuda dan memanah tradisional.
Orang ramai yang ingin menyertai Karnival Best ini boleh mendapatkan tiket menerusi pautan https://bit.ly/KarnivalBEST2024,tambah beliau.
Turut hadir dalam program tersebut ialah wakil Pusat Pertanian Putra UPM, Encik Mohd Tarmizi Ishak; Ketua Pegawai Operasi Benua Equestrian Stable, Encik Zakaria Abdul Rahman; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia, Puan Siti Fadilah Mohd Hood; dan Pengurus Kanan Bahagian Penjanaan Dana IR Malaysia, Puan Sharmiza Husin.