Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangShah Alam – Sahibus Samahah Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, YBhg. Dato’ Setia Profesor Madya Dr. Haji Anhar Haji Opir dalam kenyataannya semalam menegaskan bahawa fahaman Global Ikhwan Services and Business Holdings Sendirian Berhad (GISBH) melampau dalam perkara yang berkaitan dengan ketaasuban kepada kepimpinan.
Menurut beliau, anggapan mereka bahawa Ashaari Muhammad akan bangkit semula sebagai pemuda Bani Tamim untuk menolong dan membantu Imam Mahdi merupakan penyelewengan yang berkaitan dengan aspek akidah.
“Begitu juga Ashaari Muhammad boleh memberikan syafaat kepada pengikut-pengikutnya” jelas beliau.
Selain itu, antara penyelewengan akidah yang lain termasuklah mereka meyakini Sheikh Suhaimi tidak mati tetapi ghaib sahaja.
Ujar beliau,
Daripada aspek yang berkaitan dengan syariah pula, kami dapati bahawa mereka mengamalkan konsep ekonomi ma’ash, iaitu sara hidup dan tanggungan daripada kumpulan syarikat ini kepada pengikut-pengikut mereka tanpa mereka dibayar upah dan gaji yang setimpal.
Mereka telah mengeksploitasi kanak-kanak.
Mereka juga telah memisahkan suami dengan isteri, ibu bapa dan juga anak, maka perkara tersebut meruntuhkan institusi keluarga dalam Islam itu sendiri.
Di samping itu, beliau turut memaklumkan pengikut, pemimpin dan ahli GISBH didapati masih mengamalkan Aurad Muhammadiah yang telah difatwakan menyeleweng dan sesat sebagaimana Warta No. 54 pada 4 Februari 1993.
Perkara ini selaras dengan keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 30 September 2024 bersamaan dengan 26 Rabiulawal 1446.
Beliau berkata,
Fatwa ini dikeluarkan selepas mengambil kira maklumat dan fakta, begitu juga setelah memanggil Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, kami mendapati bahawa ada beberapa elemen penyelewengan yang berkaitan dengan akidah dan syariah.
Justeru, para pemimpin, pengikut dan ahli GISBH wajib menjalani proses pemulihan sepertimana yang termaktub dalam fatwa yang diwartakan.
Beliau menyeru umat Islam supaya tidak terlibat menyokong dan memberikan sumbangan untuk menjayakan aktiviti yang dikaitkan dengan fahaman dan ajaran tersebut.