Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Peruntukan undang-undang bagi kesalahan jenayah qazaf belum diuji sepenuhnya di mahkamah syariah kerana belum ada mana-mana mahkamah syariah menjatuhkan hukuman kepada seseorang yang dituduh bagi kesalahan tersebut berdasarkan jurnal undang-undang yang ada dalam negara.
Menurut Peguam Syarie Selangor, YBrs. Tuan Noorazmir Zakaria, perkara yang pernah diputuskan di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam sebelum ini hanya membicarakan tentang definisi qazaf dan persoalan adakah boleh kita mengarahkan pendakwa syarii untuk menuduh orang yang bersalah.
Berdasarkan undang-undang dan enakmen jenayah syariah yang telah dikanunkan, qazaf terpakai dalam Prosedur Pendakwaan Jenayah Syariah, iaitu seseorang yang menjadi mangsa tuduhan qazaf boleh melaporkan perkara tersebut kepada penguat kuasa agama dan menyerahkan sepenuhnya kepada Jabatan Pendakwaan Syariah sama ada meneruskan pendakwaan ataupun tidak.
Walau bagaimanapun, sekiranya tempoh proses pendakwaan di mahkamah syariah mengambil masa yang lama, seseorang mangsa tuduhan qazaf juga boleh mengambil tindakan di mahkamah sivil menerusi tindakan saman fitnah, dan mahkamah sivil boleh terus memutuskan seseorang yang dituduh sama ada bersalah ataupun tidak.
Malah, kebanyakan kes fitnah di mahkamah sivil menerima bahan bukti dengan lebih mudah seperti tangkap layar dan rakaman video berbanding dengan tuduhan zina di mahkamah syariah yang memerlukan empat orang saksi.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk “Jenayah Qazaf” di Studio Utama Yusuf, Kompleks Islam Putrajaya, semalam.
Beliau turut menyuarakan ketidakseragaman tentang pentakrifan jenayah qazaf dalam undang-undang syariah negeri,
Apabila kita meneliti setiap enakmen jenayah syariah negeri, rupanya terdapat peruntukan yang berbeza tentang kesalahan jenayah qazaf, ada negeri yang tiada langsung peruntukan tentang qazaf, ada negeri seperti Wilayah Persekutuan dan Selangor memperuntukan qazaf terpakai kepada tuduhan zina sahaja tidak termasuk liwat, dan ada negeri tidak menyebutkan zina dan liwat tetapi tuduhan maksiat sahaja.
Justeru, beliau menyambut baik dan menyokong penuh usaha yang dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk menyeragamkan undang-undang jenayah syariah di setiap negeri kerana jika seseorang yang membuat tuduhan liwat berada negeri yang hanya memperuntukkan kesalahan jenayah qazaf untuk tuduhan zina, maka orang yang menjadi mangsa tuduhan tidak dapat dilindungi oleh undang-undang syariah negeri tersebut.
“Penyeragaman undang-undang syariah antara negeri merupakan usaha murni yang memberikan impak besar kepada umat dan negara,” katanya.
Beliau menegaskan hukuman yang telah diputuskan oleh mahkamah kepada seseorang yang dibuktikan bersalah hanya untuk kes tersebut sahaja dan tidak boleh dijadikan sebagai tiket untuk melabel orang lain sesuka hati.