11 September 2024, 16:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pameran Budaya Islam China 2024 bersempena dengan jubli emas hubungan diplomatik antara Republik Rakyat China dengan Malaysia memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara.

Pameran yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), dari 10 hingga 12 September 2024 merupakan anjuran bersama Persatuan Islam China (China Islamic Association) dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Malaysian Chinese Muslim Association, MACMA).

Majlis pembukaan pameran ini disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

“Pameran ini memberikan peluang kepada masyarakat di negara kita, sama ada yang beragama Islam ataupun tidak, untuk menyaksikan keindahan seni budaya Islam yang dibawa dari China.

“Dengan jumlah sebanyak lebih daripada 20 juta orang rakyat beragama Islam di China, yang lebih ramai berbanding dengan umat Islam di Malaysia, pameran ini membuka ruang untuk kita saling mengenali dan memahami antara satu dengan lain,” katanya ketika berucap di Dewan Tun Razak 4, WTCKL, petang semalam.

Meraikan kepelbagaian dan persahabatan – Majlis pembukaan Pameran Budaya Islam China 2024 disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar, yang memetik ayat ke-13 Surah al-Hujurat tentang kepentingan mengenali antara satu dengan lain dan membina persahabatan.

Dalam ucapannya, beliau memetik ayat ke-13 daripada Surah al-Hujurat yang bermaksud,

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah jadikan dalam kalangan kamu lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbilang bangsa dan kabilah, supaya kamu berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain.

Beliau menyimpulkan bahawa hubungan yang terjalin antara kedua-dua negara sahabat yang dibina atas dasar saling menghormati ini, memberikan peluang kepada rakyatnya untuk memperkukuh lagi persahabatan yang erat.

Pameran ini merupakan satu daripada pelbagai acara yang diadakan untuk memperingati ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik China-Malaysia, dan dijangka dapat memupuk lebih banyak peluang kerjasama dalam bidang pelancongan, pendidikan, serta pertukaran akademik dan budaya antara kedua-dua negara.

Turut hadir, Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, TYT Ouyang Yujing, Ahli Lembaga Pengarah Tetap Persekutuan Perhubungan Cina di Luar Negara, Encik Ye Yan; Setiausaha Agung Persekutuan Perhubungan Cina di Luar Negara, Puan Wang Ping; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama China, Encik Wu Guosheng; Presiden Persatuan Islam China, Encik Hassan Yang Faming; Naib Presiden Persatuan Islam China, Encik Jin Rubin, Naib Presiden Persatuan Islam China, Encik Maktamaran Sharif; Naib Presiden Persatuan Islam China merangkap Presiden Persatuan Islam Negeri Yunan, Dai Junfeng; dan Timbalan Setiausaha Agung Persatuan Islam China merangkap Presiden Persatuan Islam Negeri Hainan, Ha Shaolin.

Daripada pihak Malaysia, yang turut hadir ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), YBhg. Kolonel Datuk Haji Mohd Ajib Ismail; Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, Ustaz Muhyidin Aziz; dan ahli jawatankuasa tertinggi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), YBhg. Datin Norhana Ng, Puah Hajah Nurul Nadhirah Liew, YBhg. Datuk Muhammad Chan dan Dato’ Dr. Haji Mustapha Ma.

 

Gambar Sekitar Majlis Pembukaan Pameran Budaya Islam China 2024

Kredit Foto: Khairul Azhar
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.