Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangArau – Tabung Haji (TH) mencapai sebanyak 92 peratus bagi Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) bagi pengurusan haji pada tahun 2024.
Hal yang demikian merupakan peningkatan serta pencapaian yang membanggakan berbanding pada tahun sebelumnya.
Pengarah Urusan Kumpulan danĀ Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji, Syed Hamadah Syed Othman berkata, meskipun menghadapi beberapa kekangan dan cabaran, namun atas tindakan pantas dan kecekapan TH, perkara tersebut dapat ditangani dengan baik dan tidak menjejaskan perjalanan haji jemaah Malaysia.
“Institusi ini telah mengambil langkah drastik dan proaktif dengan melaksanakan penambahbaikan perkhidmatan secara menyeluruh terutamanya perancangan pengurusan jemaah dan operasi yang merangkumi aspek keselamatan, kesihatan, penyediaan makan dan minum, serta paling utama sekali, tidak ada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku pada musim haji pada tahun ini.
“TH juga tidak terlepas daripada menghadapi pelbagai cabaran dalam pengurusan para jemaah, namun atas pendekatan dan tindakan serta kecekapan TH, hal tersebut dapat ditangani dengan baik dan semuanya berjalan dengan lancar,” katanya dalam majlis sembah mengadap ke atas Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berlangsung di Galeri DiRaja Arau.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
Turut hadir sama ialah Pengarah Tabung Haji Wilayah Utara, Datuk Mohammad Mokhzani Mokhtar dan Pengarah Tabung Haji Perlis, Burhan Abd Rahman.
Sesi mengadap ini juga merupakan wadah bagi membincangkan kerjasama pihak TH dan MAIPs untuk jangka panjang dan pelaksanaan beberapa program pada masa terdekat.
Delegasi daripada Tabung Haji itu tidak melepaskan peluang untuk mengiringi Tuanku Syed Faizuddin Putra dalam aktiviti kayuhan amal MAIPs Peduli yang dianjurkan oleh MAIPs di sekitar Pekan Pauh, Arau sejurus selepas majlis mengadap tersebut.