Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKangar – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) telah menganjurkan Konvensyen Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Peringkat Kebangsaan Kali Kedua Tahun 2024 bertempat di Dewan 2020, Kangar, Perlis Indera Kayangan, semalam.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), JAKIM, Dr. Haji Ruslan Said, konvesyen ini adalah kali kedua diadakan selepas konvensyen KAFA Kebangsaan Tahun 2023 kali pertama di Melaka.
“Pelaksanaan konvensyen ini bertujuan untuk menghimpunkan dan menyantuni warga KAFA dalam kalangan pegawai agensi pelaksana KAFA, penyelia dan guru yang merupakan entiti yang sangat penting dalam pelaksanaan KAFA pada peringkat akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, tanpa peranan yang dimainkan oleh mereka ini, sudah pasti KAFA tidak akan berada sehingga tahap ini.
Oleh itu, katanya, bagi memastikan peranan dan tanggungjawab dilaksanakan dengan lebih efektif, perlu wujudnya kerjasama pada semua peringkat dalam hierarki pelaksanaan program KAFA bagi mencapai objektif yang telah digariskan.
Beliau berkata, konvensyen ini juga ialah insiatif bagi menzahirkan keprihatian JAKIM dan agensi pelaksana sebagai peneraju dan penyelaras pembangunan pendidikan Islam kebangsaan.
Menurut beliau, Konvensyen KAFA Peringkat Kebangsaan Kali Kedua Tahun 2024 ini melibatkan penyertaan sebanyak 1500 orang dalam kalangan penyelia dan guru KAFA dari seluruh negara di samping kehadiran ketua dan pegawai agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta rakan media yang akan membawa beberapa objektif signifikan demi memastikan gagasan Malaysia MADANI mampu diterjemahkan kepada semua warga pengurusan KAFA.
“Objektif Konvensyen KAFA Peringkat Kebangsaan Kali Kedua Tahun 2024 ini adalah untuk memperkasakan pelaksanaan program KAFA secara holistik di seluruh negara serta memberi peluang kepada kepimpinan tertinggi JAKIM untuk bertemu dan menyampaikan amanat kepada pegawai agensi pelaksana negeri, penyelia, pentadbir premis dan guru KAFA seluruh negara,” jelas beliau.
Tambahnya, konvensyen ini juga diadakan untuk menjelaskan hala tuju dan isu semasa program KAFA dan mengukuhkan hubungan kerjasama strategik dengan agensi pelaksana KAFA ke arah kesejahteraan ummah dengan memantapkan dasar dan tadbir urus program KAFA.
Antara acara menarik dalam konvensyen ini termasuklah Persembahan Tilawah al-Quran daripada murid KAFA dari Perlis, penyampaian anugerah dan penghargaan kepada guru KAFA, sesi bersama Bank Islam Malaysia Berhad, perkongsian berkaitan peranan pentaksiran Pendidikan Islam dalam usaha membentuk kemenjadian murid yang holistik dan sesi bersama-sama Sahibus Samahah Dato’ Arif Perkasa Prof. Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Negeri Perlis berkaitan dengan penerapan konsep Al-Falah dalam Pendidikan Islam.
Titah perasmian konvensyen pada kali ini disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.