Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKangar – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memberikan sumbangan sebanyak RM200 ribu untuk menjayakan pembinaan sebuah pusat Islam di Ibadan, Oyo, Nigeria.
Menurut kenyataan media MAIPs, simbolik penyerahan sumbangan berkenaan disempurnakan oleh Pemangku Raja Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena Safar Ilmi MAIPs ke negara tersebut, baru-baru ini.
Baginda yang juga merupakan Tuanku Yang DiPertua MAIPs telah menyerahkan sumbangan tersebut kepada Yayasan Amal Al Mawaddah yang berpangkalan di Ibadan, Nigeria yang diwakili oleh Pengerusi Yayasan itu, Dr. Abdulrasheed Olatunji Abdussalam dan Timbalannya, Alhaj Ridwan.
“Pusat Islam tersebut apabila siap kelak dijangka dapat memberi manfaat kepada pelbagai aktiviti yang dilaksanakan dengan memberi fokus kepada usaha menyebarkan ajaran Islam yang sebenar,” kata MAIPs.
Jelas MAIPs, hal tersebut boleh disempurnakan dengan melaksanakan pelbagai projek amal, advokasi dan pendidikan seperti program dakwah, Ramadan, pembinaan telaga, tajaan untuk anak yatim, kursus syariah untuk imam dan pendakwah, pengagihan al-Quran, dan pemberian sedekah dan zakat kepada fakir miskin dan orang yang hidup melarat.
Berangkat sama ke majlis yang diadakan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Abuja itu ialah anakanda baginda, iaitu Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail yang juga Waris Kedua Negeri Perlis.
Turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Nigeria, TYT Aiyub Omar, Kaunselor Sharmini Devi Gopal dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Zakat dan Wakaf Negeri Sokoto, Sadaukin Muhammad Lawal Maidoki serta Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Prof. Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor yang mengiringi Tuanku Pemangku Raja Perlis.