Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKota Kinabalu – Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memperuntukkan sebanyak RM67,147,410 bagi pelaksanaan beberapa inisiatif di Sabah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, jumlah peruntukan setahun itu juga bertujuan untuk membiayai sebanyak 8730 orang penerima yang turut melibatkan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan (SKSPS) bagi orang bekerja sendiri.
“Bagi imbuhan bulanan imam sebanyak RM850 berjumlah RM17,329,800 setahun melibatkan sebanyak 1699 orang penerima; elaun bulanan guru takmir sebanyak RM900 berjumlah RM4,546,800 setahun bagi 421 orang penerima,” katanya semasa berucap dalam Program Jelajah Madani Ulama Dan Umara (JMUU) Peringkat Negeri Sabah 2024 di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Isnin lalu.
Tambah beliau, peruntukan tersebut juga termasuk elaun bulanan guru KAFA sebanyak RM1,261.35, yang berjumlah RM37,689,138 setahun untuk 2490 orang penerima; dan bayaran khas sekali bayar sebanyak RM700 berjumlah RM6,111,000 setahun kepada 8730 orang penerima.
Katanya, turut diberikan ialah caruman PERKESO sebanyak RM232.80 berjumlah RM1,452,672 setahun untuk 6240 orang penerima.
Beliau berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa menghargai usaha yang dilakukan oleh para Murabbi Ummah untuk mengurus dan mengimarahkan masjid termasuk institusi pendidikan dengan tradisi ilmu dan aktiviti bagi memberi kefahaman Islam kepada masyarakat.
Beliau juga memaklumkan bahawa Pelan Transformasi Al-Falah akan dilaksanakan dengan kerjasama pihak berkuasa agama Islam negeri termasuk di negeri Sabah.
“Terdapat 31 program utama merentas lima teras Pelan Transformasi Al-Falah dan kesemuanya disusun untuk mencapai Malaysia MADANI,” jelas beliau.
Majlis tersebut dirasmikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang diwakili Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif.
Dalam majlis tersebut, beliau turut menyaksikan penyampaian anugerah Tokoh Imam Mithali Sabah kepada Imam Daerah Papar, Japar Abdullah, manakala Tokoh Guru Takmir Mithali diberi kepada Awaluddin Nasution dan Norsiah Ag. Tanga dianugerahkan Tokoh Guru KAFA Mithali.
Majlis ini turut disiarkan secara dalam talian melalui laman Facebook JAKIM, https://www.facebook.com/MyJAKIMmalaysia/videos/483664837859222.