Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersedia menawarkan kepakaran dan pengalaman dalam usaha memperkemas pengurusan halal di Namibia.

Menurut MAIPs dalam satu kenyataan media lanjutan lawatan yang diadakan ke Pusat Abatoir Meatco di Windhoek, Namibia baru-baru ini, agenda mempertingkat pengurusan halal yang tersusun dan bersistematik akan menambah keyakinan pelanggan untuk membeli dan menggunakan produk yang dikeluarkan.

Pusat Abatoir Meatco merupakan syarikat berkaitan dengan Kerajaan Namibia yang ditubuhkan sejak tahun 1994 dan mematuhi International Organization for Standardization (ISO) 9002, Hazard Analysis and Critical Control Points (HACCP) 1033:2007 serta South African Bureau of Standards (SABS).

Lawatan bersempena dengan Safar Ilmi MAIPs ini diketuai oleh Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan diiringi oleh anakanda baginda, Yang Amat Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Areeb Putra Al Haj Jamalullail.

Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan melawat Pusat Abatoir Meatco di Windhoek, Namibia.

Keberangkatan baginda disambut oleh Pengurus Sementara Operasi, Pusat Abatoir Meatco, Marcella Somaes dan Penyelia Halal, Pusat Abatoir Meatco, Uthman Klausv Van Niel.

Dalam sesi lawatan tersebut, beberapa elemen berkaitan dengan pengurusan halal telah dibincangkan seperti kriteria halal, penggunaan kaedah penyembelihan serta cadangan pewujudan penyeragaman organisasi halal yang berautoriti sedang diterokai.

Baginda bertitah,

Sesuatu produk daging yang dikeluarkan perlulah dipastikan mematuhi aspek syariah tentang halal dan memenuhi aspek kualiti berkaitan dengan tayyib.

Turut serta dalam delegasi berkenaan ialah Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Namibia, YBhg. Dato’ Dr. Mohamad Rameez Yahaya;  Mufti Perlis, Dato’ Arif Perkasa Profesor Dr. Mohd Asri Zainul Abidin; Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis, YBhg. Profesor Datuk Dr. Zaliman Sauli dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.