Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh dilaporkan dibunuh di ibu negara Iran, Tehran, lapor media antarabangsa pagi tadi.
Pimpinan Hamas dalam satu kenyataan yang dikeluarkan turut mengesahkan bahawa Ismail Haniyeh dibunuh dalam satu serangan rejim Zionis di kediaman beliau di Tehran.
“Saudara, pemimpin, mujahid Ismail Haniyeh, ketua pergerakan kita, syahid dalam serangan Zionis di ibu pejabatnya di Tehran selepas beliau menyertai pelantikan presiden baharu Iran,” katanya.
Sementara itu, Pengawal Revolusi Iran menyatakan bahawa pemimpin Hamas tersebut dibunuh bersama seorang pengawalnya.
“Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh diserang di Teheran. Akibat kejadian ini, beliau dan seorang pengawal peribadinya syahid,” kata kenyataan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Naim Mokhtar turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Almarhum Ismail Haniyeh dan mendoakan semoga segala jasa almarhum dicatat sebagai amal soleh.
Menurut beliau, almarhum ialah seorang tokoh yang teguh dan kental jiwanya dalam usaha memperjuangkan nasib umat Islam di Palestin.
“Saya telah meminta kerjasama masjid-masjid di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), iaitu Masjid Negara Kuala Lumpur, Masjid Putra, Putrajaya dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya untuk melaksanakan Solat Jenazah Ghaib ke atas Almarhum Ismail Haniyeh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pada masa sama, masjid dan surau di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga diminta untuk mengadakan Solat Jenazah Ghaib ke atas Almarhum Ismail Haniyeh.
Beliau berkata, pihak JAKIM dan JAWI akan membuat perincian berkaitan dengan perkara tersebut.
Pemimpin dan pegawai dunia turut mengutuk dan mengecam pembunuhan pemimpin Hamas tersebut.
Ismail Haniyeh berada di Tehran untuk menghadiri majlis angkat sumpah Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, semalam.
Beliau merupakan ketua politik kumpulan pejuang Islam yang dibuang negeri dan banyak menghabiskan masa selama beberapa tahun di Qatar.
Semasa perang Israel-Gaza, beliau bertindak sebagai perunding semasa rundingan senjata dan berhubung dengan sekutu utama Hamas di Iran.