1 Julai 2024, 18:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Georgetown – Pensyarah Kanan dan Profesor Madya Unit Bahasa Arab, Jabatan Bahasa Asing, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Mohd Sukki Othman dilantik sebagai Mufti Pulau Pinang yang baharu, berkuat kuasa hari ini.

Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang (JMNPP) mengumumkan pelantikan beliau bagi menggantikan Mufti Pulau Pinang sebelum ini, Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor menerusi satu hantaran di Facebook pada hari ini.

“Sesi taaruf Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Prof. Madya Dr. Mohd Sukki Othman bersama-sama warga JMNPP telah berlangsung di Bilik Mesyuarat JMNPP pagi tadi,” kata JMNPP.

Sahibus Samahah Mufti Pulau Pinang telah menyatakan hasrat untuk menerajui JMNPP dengan kasih sayang sebagai satu keluarga dalam usaha mewujudkan suasana bekerja yang harmoni.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid turut mengucapkan tahniah atas pelantikan beliau.

“Profesor Madya Dr. Mohd Sukki merupakan anak jati Pulau Pinang yang berkelulusan dalam bidang Bahasa Arab dan Syariah dari Universiti Yarmouk, Jordan, Sarjana Pengajian Islam (UKM) dan Doktor Falsafah dari Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM),” katanya.

Tambahnya, dengan pengalaman dan pengetahuan yang luas, beliau berkeyakinan mufti baharu ini dapat menjalankan amanah ini dengan cemerlang memimpin dan mentadbir JMNPP dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang.

Untuk makluman, Profesor Madya Dr. Mohd Sukki bin Othman dilantik secara pinjaman sebagai Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa pada 1 Julai 2024.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Sahibus Samahah Profesor Madya Dr. Mohd Sukki atas pelantikan sebagai Mufti Negeri Pulau Pinang.

Tambah beliau, pelantikan Sahibus Samahah Profesor Madya Dr. Sukki tentunya mampu memimpin kecemerlangan JMNPP dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang bagi memperkukuh kefahaman umat Islam dalam hukum-hakam dan kefatwaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.