30 Jun 2024, 16:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis menyalurkan sumbangan zakat korporat daripada pelbagai agensi yang bernilai RM202,100 kepada pelajar kategori B40, baru-baru ini.

Sumbangan ini bertujuan untuk membantu meringankan beban kewangan pelajar yang kurang berkemampuan semasa mereka menuntut di universiti ini selain memberikan motivasi kepada mereka untuk terus bersemangat dalam menimba ilmu pengetahuan di UiTM.

Penyerahan sumbangan ini bersempena dengan Program Kayuhan Kapsul dan Mini Sambutan 25 tahun UiTM sebagai Sebuah Universiti dan disempurnakan penyerahannya oleh Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin, FASc.

Majlis tersebut yang berlangsung di Masjid An-Nur, UiTM Cawangan Perlis ini merupakan simbolik kepada program penyerahan zakat yang diadakan pada tahun ini dengan menyaksikan sebanyak 442 orang pelajar menerima bantuan zakat.

Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Prof. Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi dalam temu bual berkata, pihak universiti berterima kasih kepada Naib Canselor UiTM atas kesudian beliau meluangkan masa menyantuni pelajar UiTM Cawangan Perlis bagi sesi penyerahan zakat tersebut dengan harapan agar usaha murni itu akan mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

Menurut beliau, walaupun sebagai sebuah gedung ilmu, UiTM Cawangan Perlis tidak melihat itu sebagai satu halangan untuk sentiasa bersama-sama pelajar dan masyarakat. Malah, UiTM Cawangan Perlis sentiasa ingin menjadi sebahagian daripada pelajar dan masyarakat. Atas dasar itu, UiTM Cawangan Perlis berusaha melaksanakan program yang bermatlamat “universiti untuk semua”.

Jelas beliau lagi, “Saya ingin berpesan kepada semua penerima zakat agar menggunakan bantuan yang diterima ini dengan sebaik-baiknya. Gunakanlah untuk keperluan pendidikan dan kehidupan harian yang bermanfaat”.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Profesor Madya Dr. Ahmad Fikri Mohd Kassim, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik; Profesor Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar; Profesor Madya Dr. Wan Izhan Nawawi Wan Ismail, Timbalan Rektor Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat, Alumni dan Keusahawanan; Encik Mohd Khairul Ab Razak, Timbalan Pendaftar; Encik Mohd Fahizan Hamid, Timbalan Ketua Pustakawan; Ustazah Nadiyah Hashim, Koordinator Unit Zakat, Sedekah dan Wakaf; staf Unit Komunikasi Korporat dan para pelajar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.