30 Jun 2024, 10:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis berkolaborasi bersama-sama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memberikan bantuan kepada asnaf di sini, baru-baru ini.

Sumbangan tersebut disampaikan dalam program kayuhan basikal secara santai, iaitu UiTM Prihatin x MAIPs Peduli Bil. 55/2024.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan mengetuai kayuhan amal ini yang bertujuan untuk menyantuni dan memberikan bantuan kepada golongan asnaf yang terdiri daripada pesara UiTM Cawangan Perlis, dan masyarakat asnaf di sekitar Arau.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengetuai Program Kayuhan UiTM Prihatin X MAIPs Peduli Bil.55/2024.

Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi dalam temu bual berkata, program kayuhan seperti ini diadakan saban minggu oleh pihak MAIPs melalui Program MAIPs Peduli.

Jelas beliau,

Selain menyumbang kepada kesihatan badan, program kayuhan amal ini juga menyebarkan mesej tentang kepentingan sikap mengambil peduli terhadap masyarakat sekitar. Justeru, pihak UiTM Cawangan Perlis mengambil inisiatif untuk berkolaborasi bersama-sama pihak MAIPs pada siri kali ini sebagai satu daripada tanggungjawab sosial pihak kampus kepada masyarakat.

Menurut beliau, aktiviti sebegini dilihat mampu menjadi sumber inspirasi bagi mendidik warrga kampus untuk sentiasa cakna terhadap masyarakat.

“Sikap murni ini perlu dididik pada usia muda supaya memupuk sifat terpuji dan menjadi ikutan generasi berikutnya,” jelas beliau.

Program kayuhan UiTM Prihatin x MAIPs Peduli Bil. 55/2024 menyaksikan penyerahan barangan keperluan dapur sumbangan UiTM dan MAIPs kepada tiga buah rumah asnaf di Rancangan Perumahan Arau (RPA), Kampung Kebun dan Jalan Rani Estate.

Sumbangan tersebut disampaikan sendiri oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib@Sahibuddin, FASc.; dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, YBrs. Tuan Haji Mohd Nazim Haji Mohd Noor.

Sebanyak 100 orang peserta mengambil bahagian dalam program kayuhan ini dan mereka terdiri daripada ketua jabatan daripada agensi negeri Perlis dan persekutuan.

Penganjuran program ini juga diadakan bersempena dengan Program Kayuhan Kapsul dan Mini Sambutan UiTM 25 Tahun sebagai Sebuah Universiti dan turut disertai oleh pasukan kayuhan kapsul UiTM yang singgah ke UiTM Cawangan Perlis dalam siri kayuhan mereka merentas cawangan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.