27 Mei 2024, 15:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Umat Islam yang berhasrat untuk melakukan semakan arah kiblat secara manual boleh berbuat demikian semasa peristiwa Istiwa’ A’zam yang akan berlaku pada pukul 5.18 petang ini.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam hantaran Facebooknya, Istiwa’ A’zam ialah peristiwa kedudukan matahari tepat berada di atas Kaabah dan fenomena ini berlaku dua kali dalam setahun.

“Seluruh umat Islam di Malaysia berpeluang untuk menyemak ketepatan arah kiblat di premis atau kediaman masing-masing,” jelasnya.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata, umat Islam boleh menyemak arah kiblat dengan menggunakan objek-objek tegak dan lurus sebagai alat pengukur bayang-bayang objek.

Tambahnya, individu yang ingin berbuat demikian perlu memastikan cuaca dalam keadaan baik, iaitu tidak mendung atau hujan supaya bayang-bayang objek jelas kelihatan dan mudah untuk ditanda.

Selain itu, katanya, kaedah semakan boleh dilakukan dengan merujuk infografik yang disediakan dan pastikan waktu yang dirujuk diselaraskan dengan waktu sirim.

Infografik peristiwa Istiwa’ A’zam dan semakan arah kiblat. (Sumber:Facebook Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, setelah selesai membuat penandaan arah kiblat, umat Islam boleh menyemak semula arah kiblat yang sedia ada atau membuat semakan arah kiblat di aplikasi telefon pintar masing-masing, tertakluk pada keadaan fungsi sistem GPS di telefon dan gangguan magnet di sekitarnya.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut memaklumkan bahawa pihaknya akan mengadakan siaran langsung tentang fenomena tersebut jika cuaca baik dan mengizinkan pada petang ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.