5 Mei 2023, 14:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan bersegeralah kamu (mengerjakan amal kebaikan untuk) mendapatkan keampunan daripada Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang yang bertakwa.”

(Surah Ali ‘Imran 3:133)

Allah memperkenalkan diri-Nya dengan beberapa sifat mulia seperti al-Ghafur (Maha Pengampun), al-‘Afuw (Maha Pemaaf), al-Rahim (Maha Penyayang) dan al-Sittir (Maha Penutup Aib). Kesemua sifat tersebut menunjukkan Allah sentiasa memaafkan serta mengampuni dosa hamba-Nya apabila dilafazkan kalimah istighfar memohon keampunan. Allah yang memiliki sifat-sifat mulia telah mewujudkan pelbagai asbab untuk memberikan pengampunan, satu daripada sebabnya melalui istighfar dengan penuh penyesalan.

Istighfar bertujuan untuk memohon keampunan atau memohon penghapusan dosa, menghilangkan kesannya dan berlindung daripada kejahatannya. Mengikut ahli kalam, istighfar bermaksud memohon keampunan selepas melihat betapa buruknya maksiat, lalu berpaling daripadanya.

Istighfar ialah penzahiran penyesalan hamba kepada Tuhannya. Istighfar sangat dituntut dalam Islam sehinggakan Nabi Muhammad SAW yang bebas daripada dosa (maksum), beristighfar pada setiap hari sebagai tanda rendah diri seorang hamba yang bersyukur atas pemeliharaan Allah terhadap dirinya. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

Demi Allah, sesungguhnya aku memohon ampun daripada Allah dan bertaubat kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali.

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Mengapakah kita perlu melazimkan istighfar?

Pertama: Kita hamba Allah yang tidak terlepas daripada melakukan dosa. Allah SWT amat menyukai hamba-Nya yang mengakui kesalahan, lalu memohon ampun atas dosa yang telah dilakukan. Setiap pendosa yang mengakui kesalahan dan memohon ampun, lebih disukai oleh Allah berbanding dengan ahli ibadah yang berasa bangga dengan amalannya.

Kedua: Sebagai keinsafan berlakunya kekurangan atau kecacatan semasa mengerjakan ibadat. Istighfar dianjurkan selepas kita mengerjakan ibadat sebagai permohonan ampun atas sebarang kekurangan atau kecacatan yang mungkin berlaku.

Ketiga: Bimbang akan kegembiraan dengan nikmat atau kejayaan yang berkemungkinan menyebabkan kita terleka daripada mengingati Allah. Ketika umat Islam bergembira dengan pembukaan Makkah, Allah berfirman dalam Surah al-Nasr, ayat 3 yang bermaksud, “Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia sangat menerima taubat.”

Istighfar merupakan penzahiran penyesalan hamba kepada Tuhannya.

Kelebihan istighfar

Kelebihan istighfar sangatlah banyak, antaranya termasuklah:

Pertama: Istighfar merupakan sunah Nabi Muhammad SAW dan menjadi asbab pengampunan Allah atas segala dosa yang kita lakukan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ ayat 110 yang bermaksud, “Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menzalimi dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat), kemudian dia memohon keampunan daripada Allah, nescaya dia akan mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.”

Kedua: Istighfar menjadi asbab seseorang dikurniai pelbagai rezeki dan kemudahan hidup. Dalam Surah Nuh, ayat 10 – 12, Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Sehingga aku berkata (kepada mereka), ‘Mohonlah keampunan daripada Tuhanmu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian) nescaya Dia akan menurunkan hujan yang lebat dari langit kepadamu. Dan Dia mengurniakan kamu harta kekayaan dan anak pinak, dan menjadikan bagimu kebun-kebun tanaman serta menjadikan bagimu sungai (yang mengalir).’”

Ketiga: Istighfar menjadi asbab penyelesaian masalah yang berat. Sabda Nabi SAW yang bermaksud, “Barang siapa melazimkan istighfar, Allah SWT menjadikan untuknya bagi setiap kesempitan itu jalan keluar, setiap kebimbangan itu kelapangan, dan Allah juga mengurniainya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.” (Hadis riwayat Abu Dawud).

Para ulama mengamalkan istighfar apabila ditimpa masalah dan terbukti berkesan membantu mereka menangani masalah. Para ulama juga membanyakkan istighfar sebelum mengeluarkan sesuatu fatwa atau menyuarakan sesuatu pandangan, demi mengelakkan berlaku kesilapan akibat daripada hati yang belum dibersihkan dengan istighfar.

Keempat: Istighfar menjadi asbab pengampunan kepada orang Islam yang telah meninggal dunia. Sesungguhnya istighfar dapat menyelamatkan umat Islam daripada seksaan kubur dan dibakar oleh api neraka. Sayidina Uthman r.a. berkata bahawa Nabi Muhammad SAW apabila selesai mengebumikan mayat, baginda diam seketika dan bersabda yang bermaksud, “Mohonlah keampunan untuk saudara kamu dan mohonlah keteguhan untuknya kerana dia sedang disoal.” (Hadis riwayat Abu Dawud).

Istighfar hendaklah dilakukan dengan tawaduk, iaitu hati yang benar-benar berharap, patuh, dan dipenuhi rasa pengharapan rahmat Ilahi. Lafaz istighfar paling ringkas yang diajar oleh Rasulullah SAW ialah “أستغفر الله  ” manakala lafaz penghulu istighfar ialah:

Maksudnya: “Ya Allah, Engkau ialah Rabku, tidak ada Tuhan yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku ialah hamba-Mu. Aku atas perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung dengan-Mu daripada keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah aku. Tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Bilakah waktu terbaik untuk beristighfar?

Para ulama berpandangan, waktu terbaik untuk beristighfar adalah pada waktu sahur, iaitu 1/3 malam terakhir. Hal ini berdasarkan kefahaman daripada firman Allah SWT dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 17 yang menyebut,  وَالْمُسْتَغْفِرِينَ بِالْأَسْحَارِ , iaitu sifat orang bertakwa yang beristighfar pada waktu sahur (akhir malam).

Walau bagaimanapun, kita dianjurkan beristighfar pada bila-bila masa. Oleh itu, marilah kita membanyakkan istighfar walau di mana-mana kita berada. Semoga kita termasuk dalam golongan yang dipuji oleh Allah SWT dan diampuni dosa yang lalu dan akan datang.

Istighfar hendaklah dilakukan dengan tawaduk, patuh, dan dipenuhi rasa pengharapan rahmat Ilahi.

Umat Islam diseru agar tetap berpegang pada akidah islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rab al-‘alamin! Ampuni segala dosa kami, dosa ibu bapa dan guru kami, dosa ahli keluarga kami, baik yang masih hidup begitu juga yang berada di alam barzakh. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun. Bimbing kami untuk meninggalkan segala kesilapan dan bantu kami untuk istiqamah melakukan kebaikan. Dengan istighfar, kami pinta Engkau kurniai kami ketenangan, keselamatan, kemudahan segala urusan, kesembuhan bagi setiap penyakit, serta keberkatan rezeki dalam urusan pekerjaan dan hidup kami.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka. Jauhi golongan fuqara’ dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhi kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan oleh perbuatan rasuah. Serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.


(Disesuaikan daripada Khutbah Jumaat, 5 Mei 2023, bertajuk “Istighfar dan Kelebihannnya”)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.