3 Februari 2023, 14:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan takutlah diri kamu akan huru-hara (hari kiamat), yang padanya kamu semua akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian, setiap orang akan disempurnakan oleh Allah balasan mengikut apa-apa yang telah dilakukannya dan mereka tidak dizalimi.”

(Surah al-Baqarah 2:281).

Kiamat merupakan suatu perkara yang pasti berlaku. Mempercayainya merupakan rukun bagi golongan yang beriman kepada Allah SWT dan para rasul-Nya. Kiamat ialah hari yang menetapkan segala ciptaan Ilahi dimusnahkan, setiap yang bernyawa dimatikan, langit dan bumi berkecai, dan gunung-ganang dihancurkan. Pada hari tersebut, tiada apa-apa juga yang kekal melainkan zat Allah yang Maha Esa.

Setelah itu, semua manusia akan dibangkitkan dan dihimpunkan di padang mahsyar, dihitung amalan mereka sewaktu berada di dunia untuk menentukan sama ada mereka akan ditempatkan di syurga ataupun neraka. Demikianlah janji Allah SWT; yang menjadikan dunia sebagai tempat persinggahan untuk manusia mentaati Penciptanya, memakmurkan bumi dan mencurahkan bakti sebelum berpindah ke alam akhirat yang kekal selama-lamanya. Inilah akidah Islam yang indah; menawarkan kepercayaan yang mudah difahami, menyedarkan manusia bahawa hidup mempunyai tujuan dan setiap perbuatan akan diadili dan diberikan balasan pada hari kiamat.

Perbanyakkan amal soleh sebagai persiapan menghadapi hari akhirat.

Terdapat banyak ayat al-Quran mengenai hari kiamat dan suruhan Allah SWT untuk ummah mempersiapkan diri sebelum kedatangannya. Antaranya termasuklah ayat 281 Surah al-Baqarah. Menurut kebanyakan ilmuwan Islam, ayat ini ialah ayat al-Quran terakhir yang diturunkan kepada Baginda SAW. Meskipun terdapat beberapa pandangan lain berkenaan dengan ayat terakhir yang diturunkan, namun pandangan yang paling masyhur dan diterima oleh kebanyakan ulama tafsir seperti yang dinyatakan oleh Ibnu Hajar al-‘Asqalani dalam Fathul Bari, ayat 281 Surah al-Baqarah ialah ayat terakhir yang diturunkan. Baginda SAW wafat sembilan hari selepas ayat tersebut diturunkan. Melalui ayat ini, terdapat tiga perkara utama yang ditekankan, iaitu:

Pertama: Peringatan takwa terhadap hari kiamat.

Takwa terhadap hari kiamat bermaksud mengambil perhatian, berjaga-jaga dan berhati-hati sebelum kedatangannya dengan melakukan persiapan diri bagi menghadapinya. Menurut Tafsir al-Tahrir Wa al-Tanwir, kunci untuk selamat daripada huru-hara hari kiamat adalah dengan meninggalkan semua larangan Allah SWT dan melakukan segala perintah yang diwajibkan, di samping memperbanyak amal soleh. Apabila tiba hari tersebut, semua manusia akan kembali kepada Penciptanya untuk dihisab amalan mereka seperti yang terkandung dalam ayat 6 hingga 8 Surah al-Zalzalah:

Maksudnya: “Pada hari itu, manusia keluar bertempiaran (dari kubur masing-masing) untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) semua perbuatan mereka. Maka itu, sesiapa yang melakukan kebaikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalannya). Dan sesiapa melakukan kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalannya).” (Surah al-Zalzalah 99:6-8).

Kedua: Setiap manusia akan disempurnakan balasan amalnya sesuai dengan apa-apa yang diusahakannya.

Ketika manusia dihimpunkan di mahkamah Rabb al-Jalil, tiada seorang pun yang akan terlepas daripada dihisab. Pada ketika itu, manusia tertanya-tanya mengenai nasib yang bakal menimpa diri, sehingga tiba giliran untuk ditimbang catatan amalnya. Ketika itu, tidak ada peguam bela yang boleh dilantik untuk membela dirinya, juga tidak ada saksi yang boleh diupah untuk tidak bercakap benar. Apa-apa yang akan dibentangkan di hadapan Allah SWT ialah catatan daripada Raqib dan Atid, malaikat yang ditugaskan mencatat setiap perbuatan manusia semasa hayatnya, termasuk apa-apa yang didengari oleh telinga, apa-apa yang dilihat oleh mata, apa-apa yang dilafazkan oleh mulut, apa-apa yang dikerjakan oleh tangan dan di tempat mana kaki pernah mencecah.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan dibentangkan kitab-kitab (catatan amalan), lalu kamu akan melihat orang yang berdosa ketakutan terhadap sesuatu yang (tertulis) di dalamnya dan mereka berkata, ‘Aduhai, celaka kami! Kitab apakah ini yang tidak meninggalkan (catatan amalan) yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan (kitab tersebut) mencatat semuanya?’; dan mereka mendapati apa-apa yang telah dilakukan mereka ada (tertulis di dalamnya). Dan (ingatlah), Tuhan kamu tidak menzalimi walau seorang pun.” (Surah al-Kahfi 18:49).

Beruntunglah orang yang berat timbangan amal kebaikannya. Bergembiralah mereka yang ketika di dunia sempurna solat lima waktu, yang menunaikan zakat, memenuhi janji, menyempurnakan amanah, yang gemar meringankan beban orang dalam kesusahan, bersedekah, berbakti kepada kedua-dua ibu bapa, mengeratkan silaturahim, mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, yang melakukan segala suruhan, dan meninggalkan segala larangan Allah SWT.

Ketiga: Ketika manusia dihisab, tidak ada seorang pun yang dizalimi.

Hitungan Allah SWT ialah hitungan yang Maha Adil. Setiap kebaikan yang dilakukan sewaktu di dunia akan mendapat ganjaran tanpa ditinggalkan walau sedikit pun, begitu juga setiap kejahatan akan diperlihatkan. Namun begitu, rahmat Allah SWT yang Maha Luas dengan sifat Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, menjadikan kebaikan berupaya memadamkan keburukan, seperti firman-Nya:

Maksudnya: “… Sesungguhnya amalan yang baik itu (terutamanya solat) menghapuskan amalan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang yang selalu mengingati Allah.” (Surah Hud 11:114)

Jadikan dunia sebagai ladang akhirat. Manfaatkan umur dengan memperbanyak kebaikan. Umat Islam diingatkan dengan beberapa perkara seperti yang berikut:

  • Pertama: Hari kiamat adalah benar dan ummah wajib beriman dengannya serta dituntut membuat persiapan diri.
  • Kedua: Perbanyakkan amal soleh, jauhi amalan syirik, dan tinggalkan maksiat. Sentiasa beristighfar, membaca al-Quran dan bersolat sunat taubat pada setiap hari agar pengakhiran kita sentiasa dalam keadaan bersih daripada dosa dan noda.
  • Ketiga: Sentiasa memohon maaf dan bersifat pemaaf, menjalin hubungan silaturahim dan menjadi manusia yang bermanfaat kepada diri dan masyarakat. Jadikan akhlak mulia sebagai pakaian kerana akhlak mulia memberatkan amal timbangan sebagaimana sabda Baginda SAW yang bermaksud,

Tidak ada sesuatu yang lebih berat bagi timbangan orang mukmin pada hari akhirat daripada akhlak mulia. Sesungguhnya Allah amat murka kepada orang keji lagi jahat (buruk akhlak).”

(Hadis riwayat al-Tirmidzi).

Umat Islam diseru agar tetap berpegang pada aqidah islamiah berteraskan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadah, terutamanya solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rabb al-‘Alamin! Bimbinglah kami untuk memanfaatkan dunia ini sebagai ladang akhirat kami. Kurniai kami syurga-Mu serta kami berlindung dengan-Mu daripada azab api neraka.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka. Jauhi golongan faqir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalal wa al-Ikram! Jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhi kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan oleh perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

 

Kredit foto: MattHphotos by Pixabay dan Tansu Topuzoglu from diversifylens/Canva.

(Disesuaikan daripada Khutbah Jumaat, 3 Februari 2023, bertajuk “Hari Kiamat – Persiapan Menuju Mahsyar”)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.