30 Disember 2022, 15:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.”

(Surah al-Mu’minun 23:1-2).

Solat dari sudut bahasa bermakna “doa”, manakala dari sudut istilah syarak pula bermaksud “beberapa perbuatan dan perkataan yang dimulai dengan takbiratulihram dan diakhiri dengan salam, menurut syarat-syaratnya yang tertentu”. Solat lima waktu merupakan ibadat utama dan juga antara rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim. Solat merupakan tiang agama dan amalan yang pertama akan dihisab oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Kejayaan hakiki menurut Islam adalah dianugerahkan dengan kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Kesejahteraan di dunia bermaksud ketenangan hidup yang lahir daripada ketaatan kepada Allah SWT. Kesejahteraan di akhirat pula hanya diperoleh apabila mendapat reda Allah SWT dan dimasukkan ke dalam syurga-Nya.

 

Solat ialah ibadat yang dapat memberikan ketenangan jiwa kepada manusia.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, hampir setengah juta rakyat Malaysia mengalami tekanan atau kemurungan. Pandemik COVID-19 telah mengakibatkan masalah kesihatan mental menjadi lebih buruk; ramai ahli masyarakat menghadapi masalah mental, tekanan dan kemurungan. Solat ialah ibadat yang dapat memberikan ketenangan jiwa kepada manusia, seperti yang disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW:

Maksudnya: “Wahai Bilal, dirikanlah solat. Rehatkanlah diri kita dengannya (solat).”

(Hadis riwayat Abu Dawud).

Kajian oleh sekumpulan penyelidik dari Jabatan Kejuruteraan Biomedikal, Universiti Malaya membuktikan bahawa solat yang diwajibkan kepada umat Islam, bukan hanya berperanan sebagai amalan kerohanian tetapi terbukti mempunyai hikmah yang tersirat terhadap kesihatan fizikal dan mental manusia, khususnya jika dilakukan dengan penuh khusyuk. Orang-orang yang sihat jasmani, emosi dan rohaninya ialah orang-orang yang bahagia dan berjaya dalam hidupnya. Hal ini sesuai dengan seruan azan yang sentiasa mengajak manusia menuju kejayaan hidup setelah seruan menunaikan solat pada setiap hari.

Solat yang berkesan juga dapat mencegah seseorang daripada perbuatan keji dan mungkar. Seseorang yang tidak dapat meninggalkan perbuatan maksiat dan mungkar, bermakna solatnya masih belum sempurna. Oleh itu, kita wajib sentiasa bermuhasabah dan berusaha untuk meningkatkan kualiti solat kita.

Amalan solat pada awal waktu menjadi kunci kejayaan kerana orang yang istiqamah mendirikannya dapat mendisiplinkan dirinya dengan pengurusan waktu yang berkesan. Orang-orang yang mengutamakan hak Allah SWT dalam urusan hidupnya, pasti akan mendapat rahmat dan hidayah Allah SWT, seterusnya mencapai kejayaan dunia dan akhirat.

Anak-anak perlu dididik menunaikan solat seawal usia muda.

Sebab itulah amalan solat perlu dilatih sejak usia muda. Ibu bapa wajib mendidik anak-anak menunaikan solat. Pengurusan masjid dan surau perlu bijaksana melakukan usaha yang berjaya menggalakkan ahli kariah agar istiqamah mendirikan solat fardu berjemaah.

Kerajaan juga bertanggungjawab melaksanakan dasar-dasar yang menjunjung perintah mendirikan solat seperti menyediakan kemudahan bersolat di tempat kerja dan menguatkuasakan peraturan yang membenarkan pekerja Muslim menunaikan solat dalam waktu bekerja. Umat Islam perlu memberikan perhatian terhadap seruan Allah SWT kepada golongan yang meninggalkan solat seperti firman-Nya:

Maksudnya: (Ahli syurga bertanya kepada ahli neraka) Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar? Mereka (ahli neraka) menjawab; Kami (ketika di dunia) tidak termasuk dalam golongan yang mendirikan solat.

(Surah al-Muddaththir 74:42-43).

Rasulullah SAW menganjurkan umatnya agar mendirikan solat secara berjemaah pada setiap waktu dengan menjanjikan 27 ganjaran lebih besar berbanding dengan solat bersendirian. Secara lebih khusus, Baginda amat menekankan solat subuh dan isyak secara berjemaah melalui sabda Baginda dalam hadis:

Maksudnya: “Sekiranya mereka mengetahui apa-apa (yang diganjarkan) pada solat isyak dan subuh, nescaya mereka akan mendatangi kedua-duanya, walaupun dalam keadaan merangkak.”

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Beberapa pengajaran yang perlu direnungi bersama adalah seperti yang berikut:

Pertama: Solat merupakan ibadat utama yang mempunyai banyak kelebihan dari sudut kerohanian serta kesihatan fizikal dan mental yang amat bermanfaat untuk kesejahteraan hidup manusia.

Kedua: Ibu bapa wajib memastikan anak-anak mendirikan solat dengan sempurna. Bimbing mereka mendirikan solat bermula umur tujuh tahun dan anak-anak boleh dipukul jika tidak mendirikan solat setelah mencecah umur 10 tahun, untuk mendidik mereka istiqamah dalam menunaikan solat.

Ketiga: Pengurusan masjid dan surau perlu bijaksana memperkenalkan pelbagai tarikan dalam usaha menggalakkan lebih ramai ahli kariah mendirikan solat secara berjemaah. Begitu juga pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menambah surau bergerak di pasar malam dan tempat-tempat tumpuan orang ramai untuk memudahkan masyarakat mendirikan solat.

Keempat: Solat fardu yang dilakukan secara berjemaah bukan sahaja berjaya menjalinkan hubungan hamba dengan Tuhannya, bahkan turut mengukuhkan hubungan sesama manusia yang natijahnya akan melahirkan masyarakat yang saling mengenali, bersatu dan berkasih sayang.

Kelima: Kejayaan menurut pandangan Islam tidak terbatas pada kesenangan hidup di dunia yang sementara. Kejayaan hakiki dengan dianugerahkan kesejahteraan di dunia dan kesejahteraan di akhirat. Al-Quran menjelaskan tentang kejayaan yang sebenar menerusi firman Allah SWT:

Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahan dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.”

(Surah Ali ‘Imran 3: 185).

Ya Allah! Ya Rabb al-‘alamin! Muliakan kami dengan takwa dan istiqamah. Jadikanlah kami dan seluruh ahli keluarga kami, hamba-hamba-Mu yang khusyuk dan ikhlas dalam mendirikan ibadat solat. Bukakan pintu hati kami agar terdorong mengutamakan solat sebaik-baik sahaja terdengar seruan azan dan melakukan solat secara berjemaah.

Ya Mannan! Ya Razzaq! Berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka. Jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Dza al-Jalali wa al-Ikram! Jadikanlah kami hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk! Jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah. Serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada Khutbah Jumaat, 30 Disember 2022 bertajuk “Solat Kunci Kejayaan”)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.