16 Disember 2022, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Maksudnya: Dan mereka bertanya kepada-Mu (Muhammad) tentang roh. Katakanlah, “Roh itu termasuk urusan Tuhanku, sedangkan kamu diberi pengetahuan hanya sedikit.”                                                                                                                            (Surah al -Isra’ 17: 85)

Roh ialah urusan Tuhan yang tidak diketahui oleh manusia melainkan sedikit yang dikhabarkan melalui wahyu. Berpandukan takrif Kamus Dewan, roh bermaksud sesuatu yang dihembuskan oleh Allah SWT ke dalam badan manusia dan hiduplah ia. Dalam al-Quran, roh diberikan beberapa maksud; antaranya termasuklah ayat 52 Surah al-Syura, dirujuk al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati).

Kebanyakan ulama berpendapat bahawa roh dan jiwa memiliki unsur yang sama apabila membincangkan tentang kedua-duanya. Kebiasaan masyarakat Melayu menyebut kedua-duanya sebagai rohani. Namun, perlu diingat bahawa perbincangan berkaitan dengan roh bukanlah sesuatu yang didapati ilmunya melalui kajian dan penyelidikan, bahkan hal tersebut perkara ghaib yang wajib dipandu melalui wahyu al-Quran dan perkhabaran sunah Nabi Muhammad SAW.

Sebelum lahir ke alam dunia, semua roh manusia sudah diingatkan tentang Allah SWT sebagai Tuhan yang layak disembah. Firman Allah SWT dalam Surah al-A’raf ayat 172:

Maksudnya: “Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): ‘Bukankah Aku ini Tuhanmu?’ Mereka menjawab: ‘Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi.’ (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: ‘Sesungguhnya kami (bani Adam) ialah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan).'”

Seterusnya, semasa hidup di muka bumi, roh manusia menjadi asal kepada setiap perlakuannya sama ada baik ataupun buruk. Roh ibarat pengarah kepada jasad. Firman Allah SWT dalam Surah al-Shams ayat 7 hingga 10, mengingatkan kita tentang roh atau jiwa manusia yang sentiasa menjadi asbab kebaikan mahupun kejahatan. Firman Allah SWT:

Maksudnya: Demi jiwa dan penyempurnaan (ciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.

Manusia pada hakikatnya bergantung pada rohaninya sama ada memilih yang baik mahupun yang buruk. Pemilihan ini pula bergantung kepada sejauh mana rohani kita kuat dan sihat, iaitu berada dalam keadaan suci daripada kekotoran dosa dan noda. Kekuatan rohani memerlukan penjagaan, rawatan dan ubatan.

Penjagaan, rawatan dan ubatan rohani boleh dilakukan dengan beberapa cara seperti yang berikut:

Pertama: Menjaga rohani dengan berusaha bersungguh-sungguh melakukan ketaatan dan meninggalkan kemaksiatan. Memelihara solat fardu ialah perkara yang sangat penting. Maksiat yang berterusan akan mengotorkan rohani sekali gus menyebabkan rohani mengidap penyakit yang serius.

Solat mampu memelihara rohani manusia.

Kedua: Membanyakkan zikir mengingati Allah SWT dan membanyakkan berselawat kepada Rasulullah SAW. Zikir dan selawat dapat melembutkan rohani, memberikan ketenangan, sekali gus menambah kekuatan diri memilih untuk melakukan kebaikan.

Ketiga: Mengubati rohani dengan membanyakkan istighfar, iaitu memohon keampunan Allah SWT daripada semua dosa dan noda yang telah dilakukan sama ada secara sengaja mahupun secara tidak sengaja. Istighfar ibarat ubat yang dapat merawat rohani yang sakit.

Keempat: Banyakkan berdoa agar Allah SWT mengekalkan rohani kita dalam keadaan yang baik.

Membanyakkan zikir dan doa mampu memberikan ketenangan rohani.

Rohani juga memerlukan latihan untuk kekal dan mudah melakukan kebaikan. Sebagaimana jasmani yang lazimnya dilatih untuk biasa melakukan sesuatu pekerjaan, rohani perlu dilatih dengan sifat-sifat baik. Antaranya termasuklah sifat-sifat pemurah, sabar, syukur, berpada dengan apa-apa yang ada (Qanaah), merendah diri dan menghormati orang lain. Latihan juga perlu dilakukan bagi menghindarkan diri daripada sifat mazmumah. Antaranya termasuklah sombong, bongkak, riak, takabbur, bakhil, tamak, haloba, berdendam dan dengki.

Selepas dicabut roh daripada jasad, walaupun jasad mati, namun roh terus hidup bagi menghadapi alam seterusnya. Roh orang beriman akan disambut oleh malaikat rahmat manakala malaikat azab menyambut roh orang yang ingkar, kafir dan musyrik. Roh manusia beriman yang beramal soleh akan diberikan penghormatan dan wangi-wangian manakala roh orang yang ingkar, kafir dan musyrik akan diangkat dalam keadaan hina dan berbau busuk.

Maka, bermula kenikmatan dan kebahagiaan bagi manusia yang memelihara rohnya menyembah dan mentaati Allah Rabb al-Jalil. Sebaliknya, bermulanya penyesalan dan penyeksaan bagi mereka yang ingkar, kafir dan juga musyrik. Firman Allah SWT:

(Surah al-Mu’minun 23: 99-100)

Maksudnya: “(Demikianlah keadaan orang-orang kafir itu), hingga apabila datang kematian kepada seseorang daripada mereka, dia berkata, ‘Ya Tuhanku, kembalikanlah aku (ke dunia), agar aku dapat berbuat kebajikan yang telah aku tinggalkan.’ Sekali-kali tidak! Sesungguhnya itu adalah dalih yang diucapkannya saja. Dan di hadapan mereka ada barzakh sehingga pada hari mereka dibangkitkan.”

Umat Islam diseru agar tetap berpegang kepada akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunah Wal Jamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah SWT dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah! Ya Rabb al- ‘alamin!, bimbinglah jiwa rohani kami agar sentiasa mentaati segala suruhan-Mu dan menjauhi segala larangan-Mu agar kami mencapai keredaan-Mu. Golongkanlah roh kami bersama-sama orang beriman sesudah kematian kami.

Ya Mannan! Ya Razzaq!, berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka serta jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya  Dzal  Jalaali  wa al-Ikram!, jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami daripada termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Maalik al-Mulk!, jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah. Serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

(Disesuaikan daripada Khutbah Jumaat, 16 Disember 2022 bertajuk “Roh: Kehidupan Dunia dan Akhirat”)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.