15 Ogos 2022, 11:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Usaha mengangkat martabat dan peranan tulisan Jawi berlandaskan penggunaan pelbagai kaedah teknologi merupakan suatu usaha besar dan proaktif yang harus disegerakan langkah pelaksanaannya. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan sokongan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil langkah proaktif dengan penganjuran Seminar Jawi dan Teknologi yang diadakan pada 15 Ogos 2022 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pada pagi ini.

YBrs. Tuan Wan Rohaimi Wan Daud, Setiausaha Politik, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Majlis Perasmian Seminar Jawi dan Teknologi tersebut disempurnakan oleh Setiausaha Politik Yang Berhormat (YB) Senator Datuk Haji Idris Haji Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), iaitu Yang Berusaha (YBrs.) Tuan Wan Rohaimi Wan Daud yang mewakili YB Senator dalam majlis itu. Memetik ucapan beliau dalam amanat YB Senator, “Penggunaan perisian dan elemen teknologi multimedia pada masa ini tidak boleh dinafikan dan dipinggirkan oleh pengamal dan pendidik tulisan Jawi. Jika para pengamal dan pendidik meminggirkan unsur teknologi sebegini, maka semakin terhakis minat dan penggunaan tulisan Jawi dalam kalangan masyarakat khususnya generasi baharu yang sinonim sebagai generasi yang sarat dengan teknologi maklumat dan penguasaan multimedia.”

Dalam majlis tersebut juga, beliau menyatakan harapan agar penganjuran seminar ini memperoleh impak yang besar kepada masyarakat berdasarkan pandangan pakar berkenaan dengan usaha untuk mengukuhkan dan memartabatkan tulisan Jawi melalui teknologi. Selain itu, beliau berharap agar cadangan mekanisme dan teknik terkini dalam memperkasa tulisan Jawi hasil seminar ini dapat dimanfaatkan oleh semua pihak yang terlibat dan memberikan kefahaman serta kesedaran kepada masyarakat tentang peranan teknologi dalam memperkasakan tulisan Jawi.

YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.

Terdahulu, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Yang Berbahagia (YBhg.) Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dalam ucapan alu-aluannya mengatakan bahawa masyarakat tidak sewajarnya hanya mengagumi sejarah tulisan Jawi pada masa lampau, sebaliknya perlu mendepani zaman yang sedang dan akan dihadapi ini dengan kaedah yang tepat agar tulisan Jawi dapat diletakkan di tempat yang selayaknya dan kekal relevan sebagai makna diri bangsa dan negara.

YBrs. Tuan Wan Rohaimi Wan Daud memalu gong sebayak tiga kali sebagai simbolik perasmian Seminar Jawi dan Teknologi di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pada pagi ini.

Penganjuran seminar ini satu daripada usaha untuk mempertingkatkan kadar celik Jawi dalam kalangan masyarakat. Penganjuran Seminar Jawi dan Teknologi ini bukan sahaja menghimpunkan pelbagai pihak dalam kalangan badan kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan badan penyiaran, bahkan orang perseorangan untuk sama-sama menggembleng tenaga dan buah fikiran dalam upaya membentangkan hasil usaha masing-masing bagi memartabatkan tulisan Jawi dalam skop pelaksanaan dan gerak kerja masing-masing. Pelibatan pelbagai pihak ini dilihat sangat penting bagi merancang dan menentukan hala tuju perkembangan dan pengembangan tulisan Jawi dalam bidang teknologi bagi memastikan tulisan Jawi kekal relevan dan utuh pada masa ini dan akan datang.

Majlis perasmian seminar ini turut dihadiri oleh Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman, Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Pengarah Perkhidmatan Rujukan dan Maklumat Perpustakaan Negara Malaysia, YBrs. Encik Faizal Hilmie Yusof, dan Pengarah Bahagian Penerbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YBrs. Encik Azman Mat Hassan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.